
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Zairil Khir Johari berkata perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Air Negara sebelum ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
“Selangor bayar (caj air mentah) kepada Pahang sebab ambil air dari Pahang, Singapura bayar kepada Johor sebab ambil air dari Johor, kita ambil air dari sungai di Pulau Pinang, jadi tidak timbul isu berkaitan caj itu.
“Namun demikian, ketika saya mewakili ketua menteri dalam mesyuarat Majlis Air Negara, masa itu menteri besar Kedah ada, dan beliau bangkitkan perkara sama bahawa tidak bolehkah Pulau Pinang bayar, saya kata Pulau Pinang sedia untuk beri sumbangan kewangan untuk LLUM sekiranya kita (Kedah dan Pulau Pinang) setuju untuk memastikan pemeliharaan LLUM itu dilaksanakan,” katanya.
Zairil menjawab soalan tambahan Muhammad Fauzi Yusoff (PN-Sungai Dua) mengenai bayaran caj air mentah kepada Kedah.
Sebelum ini Ketua Menteri Chow Kon Yeow meminta kerajaan persekutuan mempertimbangkan penubuhan LLUM, dan cadangan bagi menguruskan kawasan tadahan air di Ulu Muda secara profesional, kerana kawasan tadahan air itu menyalurkan bekalan air mentah ke tiga negeri iaitu Perlis, Kedah, dan Pulau Pinang.
Dalam perkembangan lain, Zairil berkata Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menyalurkan peruntukan hampir RM1 bilion kepada Pulau Pinang bagi pembangunan melibatkan pakej di bawah Projek Pembesaran Empangan Mengkuang dan projek-projek pembangunan sumber air lain sehingga kini.
Beliau berkata ia bertujuan memastikan keterjaminan sumber air mencukupi bagi memenuhi permintaan bekalan air yang tinggi.
“Kerajaan negeri juga sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan persekutuan dalam memastikan permohonan projek-projek pembangunan sumber air yang telah diangkat kepada PETRA dapat diberikan keutamaan dalam pembiayaan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia,” katanya.