
Kenderaannya dipercayai tersangkut susulan melalui jalan dilimpahi air yang tidak disedarinya dengan mangsa berusia 75 tahun gagal menyelamatkan diri.
Ketua Polis Kapit, Rohana Nanu, berkata kejadian itu berlaku sekitar 6 pagi ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas menghantar isterinya yang berniaga di kawasan SK Methodist, Kapit.
“Hujan lebat sepanjang malam menyebabkan limpahan air yang melitupi jalan.
“Arus deras telah menghanyutkan kenderaan mangsa ke dalam parit berhampiran,” katanya menurut Utusan Borneo.
Katanya, mayat berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh pasukan penyelamat sekitar 7.40 pagi.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian,” katanya.
Rohana turut meminta penduduk di kawasan yang berisiko banjir lebih berwaspada.
Katanya, orang ramai diminta mengelak kawasan mudah dinaiki air atau berisiko terjejas akibat banjir.