
Dalam pernyataan tuntutan dilihat FMT, ia menyenaraikan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, Kementerian Kesihatan dan kerajaan sebagai defendan.
Defendan lain termasuk Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dan pendahulunya, Dr Adham Baba dan Khairy Jamaluddin; Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan pendahulunya Hamzah Zainudin; dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan pendahulunya Radzi Jidin.
Plaintif juga menamakan bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah serta bekas dan ketua polis negara semasa sebagai defendan.
Plaintif mendakwa, mereka terjejas teruk oleh ‘dasar kesihatan awam yang cuai dan salah’ yang mewajibkan vaksinasi semasa kemuncak pandemik Covid-19 empat tahun lalu.
Mereka termasuk anak lelaki kepada lelaki yang meninggal dunia selepas menerima tiga dos vaksin, suami kepada seorang wanita yang meninggal dunia selepas menerima dua dos, dan seorang pekerja pembersihan yang mengalami strok, juga selepas dua dos.
Plaintif keempat ialah seorang tukang urut yang mengalami kesan sampingan yang serius selepas satu dos dan kini memerlukan kerusi roda untuk bergerak, manakala yang kelima adalah suri rumah yang turut mengalami simptom serius selepas dua dos.
Plaintif keenam ialah kakitangan Amanah Saham Nasional Bhd dan yang ketujuh, penyelia di sebuah gedung serbaneka di Mahkota Parade Melaka. Kedua-duanya mendakwa didiskriminasi oleh majikan mereka kerana enggan mengambil vaksin.
Plaintif kelapan ialah anak kepada seorang wanita yang meninggal dunia selepas mengalami masalah kesihatan yang teruk, termasuk kegagalan pernafasan yang membawa maut dan hypoimunity, selepas satu dos vaksin.
Plaintif menuntut sejumlah RM60 juta ganti rugi am, khas dan teladan.
Mereka juga memohon pengisytiharan mahkamah, antara lain, bahawa virus Covid-19 adalah ‘palsu’ dan buatan manusia, dan penggunaan ubat-ubatan seperti ivermectin dan colchicine tanpa vaksin terlebih dahulu harus dibenarkan.
Mereka juga meminta mahkamah membatalkan semua program seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Plaintif mahu mahkamah mengarahkan Anwar dan kerajaan menarik diri daripada menjadi ahli WHO dan Forum Ekonomi Dunia, yang mereka sifatkan sebagai ‘penjenayah terancang’ berpakat untuk merampas kedaulatan negara anggota, termasuk Malaysia.
Menurut Malaysiakini, Jabatan Peguam Negara memfailkan memorandum kehadiran bagi pihak kerajaan dan beberapa defendan lain pada Isnin di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Pernyataan tuntutan itu difailkan oleh Tetuan Mohamad Zainuddin & Co pada 23 Okt.
Portal berita itu juga melaporkan mahkamah menetapkan 17 Feb tahun depan untuk pengurusan kes.