
Ketua Pembangkang Melaka Dr Mohd Yadzil Yaakub menyifatkan projek itu sebagai ‘mewah dan cantik’ tetapi tidak memberi manfaat langsung kepada rakyat yang menghadapi masalah asas seperti banjir berulang dan infrastruktur perparitan.
“Ketua menterinya pun nafsunya bagus, baguslah itu, hendak buat sesuatu untuk mengindahkan bandar, biar orang yang datang nampak yang indah-indah semua, walaupun masalah banjir tidak selesai,” katanya menerusi video dimuat naik di TikTok.
Beliau yang juga Adun Bemban turut menyuarakan kebimbangan terhadap keutamaan kerajaan negeri yang dilihat lebih fokus pada ‘kosmetik’ bandar berbanding menangani isu asas yang lebih mendesak.
“Alangkah baiknya jika RM8 juta ini digunakan untuk menyelesaikan isu-isu ‘fundamental’ (asas) seperti masalah perparitan yang sering menjadi punca banjir,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyindir kerajaan negeri yang tidak memberikan bonus hari raya kepada penjawat awam dan mendakwa dana itu mungkin telah digunakan untuk membiayai projek jejantas.
“Sekarang baru saya ingat kenapa kerajaan negeri tidak bagi bonus hari raya kepada kakitangan awam, rupanya nak kumpulkan duit buat jejantas. Nasib orang Melaka, apa hendak buat, inilah kerajaan yang ada sekarang,” dakwanya.
Yadzil sebelum ini menegur pengurusan bencana negeri yang disifatkan tidak serius dan tiada perancangan dalam menyelesaikan masalah banjir kilat yang berulang kebelakangan ini.
Dakwanya, banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan bukan saja merosakkan harta-benda awam dan kerugian besar, malah menjejaskan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024.
Bagaimanapun, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Rais Yasin dilaporkan berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM10 juta kepada pelbagai agensi setiap tahun bagi menangani isu banjir.
Rais berkata, tuduhan dilemparkan Yadzil hanya sekadar permainan politik untuk memburukkan kerajaan tanpa mengambil kira fakta.