‘Bisikan syaitan’ pecahkan PN, PAS nafi tak senang dengan Azmin

‘Bisikan syaitan’ pecahkan PN, PAS nafi tak senang dengan Azmin

Naib Presiden Idris Ahmad nafi dakwaan sumber Bersatu yang PAS tidak selesa tindakan Muhyiddin Yassin mengumumkan Azmin Ali setiausaha agung PN.

Idris Ahmad menegaskan Perikatan Nasional sentiasa bersatu-padu dan dakwaan daripada sumber Bersatu tidak boleh dipercayai.
KUALA LUMPUR:
PAS menyifatkan dakwaan parti itu tidak selesa dengan tindakan Muhyiddin Yassin mengumumkan Azmin Ali sebagai setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) sebagai ‘bisikan syaitan’ untuk memecah belahkan gabungan berkenaan.

Dakwaan daripada sumber Bersatu itu merujuk kenyataan Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden mencadangkan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dilantik ke jawatan berkenaan.

Mengulas perkara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata ia adalah sumber yang tidak boleh dipercayai dan tidak memberi sebarang masalah kepada parti.

“Sumber tidak boleh (dipercayai) itu adalah bisikan syaitan yang sentiasa nak pecah belahkan kami. Kami (PN) padu. Sekarang kami (PN) berusaha untuk memastikan terus berpadu. Kami sentiasa ada usaha, dengan mengadakan usrah dua minggu sekali.

“Kami tidak ada masalah apa, bila dia (Azmin) dilantik. Yang diumumkan adalah (mungkin) setiausaha agung Bersatu,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat.

Terdahulu, FMT memetik sumber Bersatu sebagai berkata, tindakan Muhyiddin mengumumkan Azmin bagi jawatan tersebut tanpa rundingan didakwa cetus rasa tidak puas hati sehingga mengundang tindak balas PAS.

Menurut Sinar Harian, Muhyiddin mengesahkan Azmin akan dilantik sebagai setiausaha agung Bersatu dan PN dengan pengumuman rasmi mengenainya bakal dibuat dalam masa terdekat.

Susulan itu, Afnan yang juga ketua Pemuda PN mencadangkan Takiyuddin pengganti Hamzah Zainudin, sesuai pengalaman dan senioriti dalam PN, selain kedudukan sebagai timbalan setiausaha agung.

Sementara itu, Ahli Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Rosol Wahid, berkata apa yang diumumkan Muhyiddin mungkin hanya di peringkat cadangan sebelum disahkan dalam mesyuarat Bersatu dan PN.

“Itu (pelantikan Azmin setiausaha agung PN) mungkin wartawan salah petik, jadi kita tunggu selepas mesyuarat (Bersatu, PN),” katanya dalam sidang media bersama Idris dan beberapa Ahli Parlimen PN lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.