9,868 mangsa banjir di 89 PPS Kelantan

9,868 mangsa banjir di 89 PPS Kelantan

Polis berkata kenderaan berat masih boleh memasuki Rantau Panjang setakat 1 tengah hari tadi.

Anggota bomba menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Kubang Kual, Rantau Panjang. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 9,868 orang setakat 3 petang berbanding 3,844 orang pagi tadi.

Harian Metro melaporkan semua mangsa daripada 3,020 keluarga itu ditempatkan di 89 pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu Pasir Mas (16), Kuala Krai (15), Tanah Merah (14), Pasir Puteh (14), Kota Bharu (14), Machang (6), Bachok (4), Jeli (4) dan Tumpat (2).

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah mangsa banjir paling ramai di Pasir Mas, iaitu 2,290 orang daripada 734 keluarga.

Ia diikuti Pasir Puteh (1,605 orang daripada 530 keluarga), Kota Bharu (1,570 orang daripada 484 keluarga), Kuala Krai (1,347 orang daripada 402 keluarga), Tanah Merah (815 orang daripada 255 keluarga), Tumpat (691 orang daripada 186 keluarga), Bachok (600 orang daripada 148 keluarga), Jeli (544 orang daripada 146 keluarga) dan Machang (406 mangsa daripada 135 keluarga).

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan pekan Rantau Panjang hampir lumpuh selepas laluan utama ditenggelami air.

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat, berkata kenderaan berat masih boleh memasuki Rantau Panjang setakat 1 tengah hari tadi.

“Saya akan memantau balik situasi dan perkembangan semasa keadaan di kawasan tersebut,” katanya menurut akhbar itu.

Walaupun situasi banjir di Kelantan masih terkawal, beliau menasihatkan penduduk di kawasan rendah berpindah awal, jika rumah mereka dinaiki air.

Ini kerana katanya, pasukan penyelamat sukar memindahkan mereka ke pusat pemindahan sementara jika air mulai deras dan semakin tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.