1 lagi kes positif mpox dikesan, pesakit stabil

1 lagi kes positif mpox dikesan, pesakit stabil

Kementerian Kesihatan berkata warga tempatan berusia 34 tahun itu mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari lalu dan terbabit aktiviti berisiko.

Mpox
Ini adalah kes positif mpox kedua yang dilaporkan di Malaysia sepanjang tahun ini. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki tempatan disahkan positif cacar monyet atau mpox varian clade II kelmarin, menjadikan keseluruhan dua kes positif dicatatkan dalam negara sepanjang tahun ini.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, warga tempatan berusia 34 tahun itu mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari lalu dan terbabit aktiviti berisiko.

Menurutnya, pesakit itu mula menunjukkan gejala ruam pada tangan, badan dan kaki sejak 15 Nov lalu, sebelum mendapatkan rawatan pada 23 Nov dan keadaannya kini stabil serta sedang menjalani isolasi.

“Semua kontak rapat sedang dikenal pasti dan dipantau untuk tanda dan gejala mpox selama 21 hari dari tarikh terakhir pendedahan,” katanya dalam kenyataan.

Malaysia mencatatkan kes mpox pertama pada 16 Sept lalu, selepas seorang pesakit disahkan positif mpox clade II yang dikesan daripada 58 kes disyaki.

Mpox boleh berjangkit antara manusia ke manusia melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu mempunyai gejala dan tanda jangkitan.

Mpox clade I dikategorikan mudah berjangkit dan mempunyai kadar kematian 10%, manakala clade II mempunyai kadar kematian lebih rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.