Siapa mahu gagalkan pelaburan di Kedah, Mahfuz soal Sanusi

Siapa mahu gagalkan pelaburan di Kedah, Mahfuz soal Sanusi

Semalam, Sanusi Nor dakwa ada ‘perancangan besar’ untuk menggagalkan pelaburan swasta di Kedah termasuk projek Langkasuka oleh BZI di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Mahfuz Omar dakwa Sanusi Nor cuba tutup kelemahan dan pentadbirannya dalam memberi keyakinan kepada pelabur.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) Kedah mendesak Menteri Besar Sanusi Nor mendedahkan ‘pihak’ didakwanya cuba menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu, merujuk keputusan Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi.

Menyifatkan tindakan Sanusi sebagai cubaan menutup kelemahan pentadbirannya dalam menarik pelaburan asing, Pengerusi PH Kedah Mahfuz Omar mempersoalkan sama ada dakwaan itu hanya bersifat andaian Adun Jeneri terbabit.

“Inilah masalah Sanusi, dia ada ‘split’ pemikiran dan ‘split argument’… dulu dia kata projek Langkasuka di Langkawi projek swasta, dia tak tahu bila Bin Zayed nak buat (mulakan projek Langkasuka), saya (Sanusi) hanya tukang umum saja.

“Tapi hari ni dia kata ada pihak cuba gagalkan pelaburan swasta…ini saya kata ‘split’ pemikiran dan ‘argument’.

“Mana satu yang betul? Adakah ‘argument’ itu terpulang pada mereka atau memang ada orang cuba gagalkan? Jadi dia cuba tutup kelemahan dia dan pentadbirannya dalam memberi keyakinan kepada pelabur,” kata Mahfuz yang juga naib presiden Amanah kepada FMT.

Mahfuz berkata, kemungkinan BZI keluar dari Langkawi kerana melihat politik Kedah yang ‘huru-hara’, selain tiada kesediaan ‘meluas’ kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan pusat kerana perbezaan parti yang mentadbir.

“Jadi pelabur rasa mereka tak ada keyakinan untuk teruskan pelaburan, mungkin sebab itu dia keluar,” katanya.

Semalam, Sanusi mendakwa ada ‘perancangan besar’ untuk menggagalkan pelaburan swasta di Kedah termasuk projek Langkasuka oleh BZI di Langkawi bernilai RM40 bilion.

Dakwanya, syarikat berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan supaya menarik diri daripada projek diumumkan.

Jumaat lalu , Pengarah Urusan BZI Sheikh Midhat Kidwai berkata, sejak 2022, syarikat itu tidak lagi melihat nilai dalam projek Langkasuka, melibatkan pembangunan gugusan 99 pulau.

Projek itu yang dijangka siap dalam tempoh 15 hingga 20 tahun meliputi pembangunan seluas 800 hektar dengan hampir 90% kawasannya terletak di laut berhampiran Padang Matsirat.

Pada Mac 2021, BZI memeterai perjanjian dengan Widad bagi menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas, Widad BZI Sdn Bhd, untuk projek itu.

Pada September 2021, Sanusi berkata, Widad BZI telah membayar RM4.5 juta kepada Kedah sebagai ‘fi komitmen’ untuk projek itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.