
Ismail berkata langkah DBKL memartabatkan bahasa kebangsaan wajar dicontohi pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.
Beliau berkata sudah sampai masanya PBT menguatkuasakan undang-undang dan tidak bertolak ansur dengan pihak yang meremehkannya.
“Ia selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan menjelaskan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan,” katanya, menurut kenyataan.

“Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan dengan Akta Bahasa Kebangsaan. Justeru, tidak ada pilihan untuk tidak menggunakan bahasa persekutuan ini pada papan tanda atau dalam urusan di negara ini.”
DBKL semalam menjelaskan tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda baru-baru ini bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi undang-undang kecil.
Ia termasuk Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) dan Akta Kerajaan Tempatan, yang antara lain mengkehendaki semua iklan dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
DBKL memaklumkan, sepanjang tahun ini pihaknya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menjalankan operasi di enam lokasi pusat beli-belah dan mengeluarkan 31 notis kesalahan terhadap premis yang menyalahi peraturan.
Kelmarin, media melaporkan bahawa Persatuan Restoran Cina Malaysia mendakwa perniagaan mereka menghadapi peningkatan kos operasi berikutan tindakan keras berhubung papan tanda oleh DBKL.
Mengulas lanjut, Ismail mencadangkan tindakan yang lebih berat dikenakan kepada pihak yang tidak menggunakan bahasa Melayu di papan tanda, termasuk golongan yang meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan.
“Kita sudah merdeka lebih setengah abad dan tidak sewajarnya kita masih terperangkap dalam retorik pertikaian bahasa ini kerana ia sudah jelas bahasa Melayu adalah bahasa rasmi Malaysia,” tegasnya.
Ismail juga percaya penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda tidak menjejaskan sama sekali kemasukan pelancong.
“Sebagai contoh, Thailand menggunakan bahasa Thai di semua papan tandanya tetapi pelancong tetap ramai berkunjung ke negara tersebut,” katanya.