Mekanik mengaku tak salah pandu mabuk sebabkan kematian suami isteri

Mekanik mengaku tak salah pandu mabuk sebabkan kematian suami isteri

S Nageshvaran, 34, berdepan dua tuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri 16 Nov lalu.

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Mahkamah Majistret Johor Bahru memerintahkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat yang dikemukakan pihak pendakwaan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian sepasang suami isteri lebih seminggu lalu.

S Nageshvaran, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Nor Farhana Mohd Ishak.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa memandu Perodua Alza dengan kandungan alkohol 170mg dalam 100ml darah melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian pembonceng motosikal, Linda Mohd A Aziz.

Lelaki itu turut didakwa memandu kenderaan sama dengan kandungan alkohol sama dalam badan dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, Mohamad Redzwan Mohd Rusdi di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar-Jalan Mesjid, Pusat Bandar Pasir Gudang kira-kira 4.15 pagi 16 Nov lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000.

Pegawai Pendakwa S Vikineswary memohon mahkamah mengenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin, selain melaporkan diri di balai polis terdekat dua kali sebulan, lesen memandunya digantung dan pasportnya diserah kepada mahkamah.

Peguam K Sarawanakumar memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan anak guamnya perlu menanggung ibu bapa sudah tua dan sakit serta empat adiknya.

“Tertuduh menanggung semua ahli keluarganya dengan gaji sebagai mekanik hanya RM2,000 sebulan, malahan ini kesalahan pertamanya,” katanya menurut Berita Harian.

Mahkamah memerintahkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin serta tiga syarat yang dikemukakan pihak pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 14 Jan depan untuk serahan dokumen.

Redzwan, 37, dan Linda, 35, dilaporkan maut selepas motosikal mereka dirempuh sebuah kereta dipandu lelaki bawah pengaruh alkohol di simpang empat lampu isyarat di Jalan Besar-Jalan Mesjid, Pasir Gudang 16 Nov lalu.

Susulan itu, lima anak mangsa menjadi yatim piatu dan kini dijaga datuk, Mohd Rudi Abdul Rahman, 61, dan nenek, Ramlah Kasiran, 56.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.