
Ketua Polis Maran Wong Kim Wai berkata, mayat Murdani Ab Rahman, 53, ditemukan penduduk kampung kira-kira 12.45 tengah hari tadi dan identitinya disahkan oleh ahli keluarganya di Jeti Chenor.
“Penduduk kampung menemukan mayat yang terapung pada jarak lebih kurang 200m dari tempat mangsa dilaporkan terjatuh.
“Mayat dihantar ke Hospital Jengka untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Bernama.
Ketika kejadian, Murdani, guru penolong kanan di SMK Tengku Ampuan Afzan, Chenor, pergi ke rumah rakit jeti Chenor bersama rakannya untuk memancing pada kira-kira 5.50 petang, Ahad.
Beliau kemudian dilaporkan terjatuh dan dihanyutkan arus Sungai Pahang.
Kehilangan Murdani turut mendapat perhatian Sultan Pahang Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang berkenan berangkat meninjau operasi SAR.
Dalam pada itu, Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail dalam catatan menerusi Facebook menzahirkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Murdani.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat serta penduduk kampung yang terlibat sepanjang tiga hari operasi SAR.
“Patik juga menjunjung kasih ke sisi ke bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang yang begitu prihatin terhadap kejadian ini sehingga baginda tuanku berkenan untuk turut sama menyertai operasi pencarian Allahyarham semalam,” katanya.