Fikir, teliti sebelum naikkan cukai

Fikir, teliti sebelum naikkan cukai

Strategi lebih luas penting bagi membendung kejadian penyakit tidak berjangkit, berbanding levi ke atas minuman bergula semata-mata.

air bergas soda
Cukai ke atas minuman bergula telah menyebabkan penurunan dalam pengambilan minuman manis tetapi gagal membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (Gambar Rawpixel)
PETALING JAYA:
Merumuskan dasar baharu mahupun mengubah yang sedia ada perlu difikirkan secara menyeluruh lagi teliti supaya mencapai tujuan terutama jika memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.

Satu perkara hangat diperdebatkan pada masa ini ialah kenaikan cukai ke atas minuman bergula tahun depan.

Tujuan membendung peningkatan penyakit tidak berjangkit (NCD) adalah baik, apatah lagi penyebab utama kematian dalam kalangan rakyat pada masa ini itu mencapai paras tertinggi, di kala Malaysia berdepan krisis sistem kesihatan.

Namun, setakat ini langkah-langkah yang diambil untuk menangani masalah ini tidak membawa kepada matlamat yang diinginkan.

Cukai ke atas minuman bergula, yang diperkenalkan pada 2019 bagi minuman mengandungi lebih daripada 5gm gula bagi setiap 100ml dan minuman berasaskan buah-buahan atau sayur-sayuran mengandungi lebih daripada 12gm setiap 100ml, telah menyebabkan penurunan ketara dalam penggunaan minuman-minuman tersebut.

Apabila kadar cukai dinaikkan daripada 40 sen kepada 50 sen tahun ini, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pengambilan minuman bergula susut lagi sebanyak 9.25%.

Bagaimanapun, cukai itu gagal membendung peningkatan NCD, apatah pula mengurangkannya.

Menurut pakar, menaikkan kadar cukai kepada 90 sen tahun depan tidak memadai apabila mengambil kira tahap masalah kesihatan yang dihadapi, malah dangkal.

Mengharungi krisis

Laporan dan tinjauan dijalankan pelbagai pihak berkuasa melakar gambaran suram mengenai keadaan kesejahteraan rakyat.

Menurut Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023, kelaziman (prevalence) penyakit diabetes dalam kalangan orang dewasa meningkat daripada 13.4% pada 2015 kepada 15.6% tahun lepas.

Lebih daripada 54% rakyat mengalami masalah berat badan, yang mana 32.6% daripada mereka mengalami berat badan berlebihan (overweight) dan 21.8% lagi terlampau gemuk (obese).

Obesiti abdomen, yang merupakan penyebab utama penyakit jantung, kini menjejaskan 54.5% penduduk.

Selain itu, 15.6% orang dewasa kini menghidap diabetes dan 29.2% menghidap tekanan darah yang tinggi (hypertension).

Menelusuri pokok pangkal

Malangnya Malaysia dinobatkan sebagai ‘Negara Tergemuk di Asia’. Menurut Unicef, kadar obesiti kanak-kanak di negara ini juga kedua tertinggi di Asean.

Masalah ini bermula semasa kecil lagi. Menurut Laporan Tahunan Unicef Malaysia 2023, satu daripada tiga kanak-kanak berumur lima hingga 17 tahun mengalami berat badan berlebihan atau terlampau gemuk, kebanyakannya disebabkan oleh pengambilan makanan tidak sihat dan gaya hidup tidak aktif.

NHMS 2023 juga melaporkan 95.1% rakyat tidak memakan buah-buahan dan sayur-sayuran pada tahap harian yang disyorkan, manakala 29.9% tidak aktif secara fizikal pada kebanyakan masa.

Menurut Unicef, ketaksamaan ekonomi, tabiat yang dipupuk budaya, dan betapa mudahnya mendapatkan makanan tidak sihat memburukkan keadaan.

tapioca chips kerepek ubi
Makanan diproses meningkatkan risiko obesiti, menyebabkan pengguna lebih terdedah kepada penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi. (Gambar Envato Elements)

Makanan dan minuman yang diproses ternyata ‘mujarab’. Lagi parah, sajian tidak sihat ini menjadi hidangan utama rata-rata rakyat, menurut Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang Mohideen Abdul Kader, sekali gus menyebabkan obesiti dan NCD melarat.

Katanya, makanan ultra proses sarat dengan lemak, gula, dan garam tersembunyi. Makanan bergaram, santapan siap dimakan, dan pencuci mulut bergula memenuhi rak-rak di pasaraya.

Di tempat kerja dan di rumah, duduk di hadapan skrin selama berjam-jam turut menyumbang kepada masalah ini.

Kegusaran

Walaupun cukai ke atas minuman bergula berhasil mengurangkan penggunaan minuman manis, ia gagal mendidik rakyat menghindari makanan yang tidak sihat.

Seperti dinyatakan Mohideen, mungkin levi itu permulaan yang perlu, namun ia tidak dapat menangani cabaran pemakanan yang lebih besar.

Perubahan gaya hidup membawa kepada peningkatan dalam penggunaan makanan ultra proses seperti kudapan masin dan mi segera serta santapan sedia dimakan.

Makanan yang diproses, mengandungi tahap lemak tepu, garam dan gula yang tinggi, sering dipasarkan sebagai harga berpatutan dan mudah. Sebaliknya, ia kekurangan dari segi khasiat.

Untuk makluman, lemak tepu membawa kepada pengumpulan kolesterol dalam saluran darah manakala tahap pengambilan garam yang tinggi menyebabkan tekanan darah tinggi yang membawa kepada penyakit jantung.

Kudapan dan makanan murah akan kekal sebagai pilihan popular bila mana tumpuan adalah pada mengenakan cukai ke atas minuman bergula, lantas NCD tidak akan dapat dihentikan.

Kesan kewangan

Menurut satu karangan pendapat pada 13 Dis 2023, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menolak hujah bahawa harga minuman manis bergula yang lebih tinggi akan menjadi beban ekonomi.

Malah, katanya, minuman seperti itu bukan suatu keperluan dalam pemakanan.

Sebaliknya, kos akibat kegagalan membendung penggunaan gula yang semakin meningkat akan lebih mahal.

KRI melaporkan bahawa pada 2017 sahaja, kos merawat diabetes, penyakit kardiovaskular dan pesakit kanser berjumlah RM9.65 bilion.

Hampir separuh (45.4%) daripada jumlah itu dibelanjakan untuk merawat penghidap diabetes.

NCD juga punca ketidakhadiran dan mengurangkan kecekapan tenaga kerja, dan faktor-faktor ini menyebabkan kerugian produktiviti tahunan kira-kira RM16 bilion.

Keperluan untuk merumus suatu pelan yang tuntas, iaitu bukan sekadar mencukai minuman bergula, maka semakin mendesak.

Teladan negara lain

Pelan tindakan yang lebih meluas adalah penting untuk mengelak dari ambang kemudaratan, dan dalam hal ini, terdapat pengajaran berharga yang boleh dipelajari daripada pengalaman negara lain.

Pada 2014, Mexico memperkenalkan cukai ke atas makanan bukan keperluan yang padat tenaga, seperti kudapan masin, kerepek, kek, pastri dan pencuci mulut sejuk beku — makanan-makanan yang mengandungi lemak, gula, garam tersembunyi yang tinggi.

Kajian menunjukkan bahawa cukai itu membawa kepada penurunan 5.1% dalam pembelian barangan makanan ini terutama dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, menurut jurnal perubatan, PLOS Medicine.

Pada 2011, Hungary memperkenalkan cukai ke atas produk dengan kandungan gula, garam dan kafein yang tinggi seperti kuih-muih, minuman ringan dan kudapan masin.

Ini menyebabkan 70% pengeluar mengurangkan kuantiti bahan-bahan berbahaya ini dalam produk mereka manakala 30% lain tidak memasukkan bahan-bahan tersebut sama sekali.

Akibatnya, penggunaan makanan yang mengandungi bahan berbahaya menurun, menurut kertas kerja bertarikh 20 Jun 2019 oleh Kementerian Keupayaan Manusia Hungary, urusetia kerajaan mengenai kesihatan, dan institut farmasi dan pemakanan kebangsaan negara itu.

Hasil seumpamanya turut diulang di Chile, selepas peraturan tuntas mengenai pelabelan makanan dan pengiklanan diperkenalkan.

Langkah seterusnya

Ada cara lebih baik untuk menangani peningkatan kejadian NCD, dan ia bukan menaikkan cukai ke atas minuman bergula.

Sekiranya cukai tidak dapat dielakkan, ia mestilah lebih meluas. Selain gula, lemak tepu dan garam juga tidak sihat maka merangkumkan makanan dan minuman yang mengandungi bahan-bahan ini adalah permulaan yang baik.

Pengilang harus diwajibkan untuk memaklumkan kepada pengguna tentang kuantiti lemak, gula dan garam yang tersembunyi dalam makanan yang dibeli.

Maklumat hendaklah dipaparkan secara jelas pada bahagian hadapan bungkusan.

Selain itu, perlu ada batas-batas tertentu ke atas pengiklanan makanan yang mengandungi lemak, gula dan garam tersembunyi. Kawalan ini amat mustahak bagi iklan yang menyasarkan kanak-kanak.

Hasil daripada cukai ke atas barangan makanan yang mengandungi lemak, gula dan garam tersembunyi harus digunakan untuk membiayai kos pilihan yang lebih sihat dan menampung kempen kesihatan awam.

Akhir sekali, yang turut sama penting, usaha-usaha ini harus diselaraskan dengan reformasi pendidikan, perancangan bandar, dan strategi-strategi penjagaan kesihatan awam.

Mengubah gaya hidup rakyat demi kesejahteraan yang lebih baik bukan perkara mustahil.

Malah, merenung langkah-langkah ini barangkali akan menjadikan hidup rakyat lebih ‘manis’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.