Rogol, liwat anak, buruh dipenjara 32 tahun

Rogol, liwat anak, buruh dipenjara 32 tahun

Mahkamah Rayuan menolak rayuan lelaki berusia 51 tahun itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara atas satu pertuduhan rogol dan satu pertuduhan liwat.

Court of Appeal
Mahkamah menolak rayuan lelaki itu atas tuduhan merogol dan meliwat anak perempuannya yang ketika itu berusia 15 tahun pada 2019.
PUTRAJAYA:
Seorang buruh diperintahkan oleh Mahkamah Rayuan untuk menjalani hukuman penjara 32 tahun dan 22 sebatan kerana merogol dan meliwat anak perempuannya yang di bawah umur, lima tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim, Azman Abdullah dan Azmi Ariffin menolak rayuan lelaki berusia 51 tahun itu untuk membatalkan sabitan dan hukuman penjara atas satu pertuduhan rogol dan satu pertuduhan liwat.

Ketika menolak rayuan lelaki itu, Zaidi berkata Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi mencapai dapatan sama dan mangsa merupakan seorang saksi yang boleh dipercayai serta keterangannya disokong bukti perubatan.

Dalam penghakiman berbeza, mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengembalikan sabitan bagi satu lagi pertuduhan rogol sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang melepaskan dan membebaskan lelaki itu atas kesalahan tersebut.

Zaidi berkata hukuman penjara dan sebat yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini tidak keterlaluan.

Pada 4 Julai 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu mensabitkan lelaki itu atas dua pertuduhan merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 15 tahun dan satu pertuduhan meliwat remaja itu di sebuah rumah di Kuala Berang dalam daerah Hulu Terengganu.

Ketiga-tiga kesalahan berlaku antara Ogos hingga Nov 2019.

Pertuduhan rogol didakwa di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan manakala kesalahan liwat di bawah Seksyen 377C kanun sama.

Lelaki itu dijatuhkan hukuman 16 tahun penjara dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan rogol manakala bagi pertuduhan liwat dia dikenakan penjara tujuh tahun dan dua sebatan.

Hukuman penjara bagi kesalahan rogol pertama dijalankan serentak dengan hukuman penjara bagi liwat manakala tempoh pemenjaraan bagi kesalahan rogol kedua bermula selepas tamat 16 tahun hukuman penjara pertama, yang bermula pada tarikh tangkap 2 Dis 2019.

Pada 25 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan atas pertuduhan liwat dan satu pertuduhan rogol namun membebaskan tertuduh daripada satu lagi pertuduhan rogol.

Lelaki itu diwakili peguam Muhammad Nadzir Abdullah manakala Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim @ Husaini mengendalikan pendakwaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.