Peruntukan RM60,000 Adun pembangkang P Pinang kekal tahun depan

Peruntukan RM60,000 Adun pembangkang P Pinang kekal tahun depan

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri tidak berhasrat menambah peruntukan Adun pembangkang kerana sudah melantik pegawai penyelaras kawasan DUN.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 kepada Adun kerajaan dan RM60,000 buat Adun pembangkang tahun ini. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM60,000 kepada Adun pembangkang tahun ini dan jumlah itu akan dikekalkan tahun depan, kata Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak berhasrat menambah peruntukan kepada Adun pembangkang kerana sudah melantik pegawai penyelaras kawasan DUN (PPK).

“Bagi 2024, kerajaan negeri memperuntukkan RM500,000 kepada Adun kerajaan dan masing-masing RM60,000 (Adun pembangkang) serta RM100,000 (PPK).

“Di samping itu, segala peruntukan demi manfaat penduduk, tidak kira di kawasan Adun kerajaan mahupun pembangkang telah diselaraskan secara bersepadu oleh jabatan, agensi serta anak syarikat kerajaan negeri, yang antara lain diterjemahkan kepada projek dan program di bawah Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau pelaksanaan projek program secara langsung oleh kerajaan negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Chow menjawab soalan Zulkefli Bakar (PN-Penanti) berhubugn peruntukan diterima Adun pembangkang.

Beliau turut menekankan sebagai wakil rakyat, semua Adun boleh mengetengahkan masalah atau permintaan penduduk kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri yang bersedia membantu rakyat dengan mengamalkan dasar “no wrong door policy”.

Dalam soalan tambahannya, Zulkefli bertanya sama ada kerajaan negeri akan mempertimbang meningkatkan elaun semua Adun untuk berkhidmat di kawasan sendiri dengan tambahan peruntukan berkenaan.

Chow berkata, elaun Adun kali terakhir diselaraskan 10 tahun lepas dan sepatutnya diselaraskan setiap 10 hingga 15 tahun.

“Namun, elaun wakil rakyat di peringkat Parlimen juga tiada penyelarasan sejak 10 tahun lepas. Sekiranya kerajaan persekutuan melakukan kajian tentang keperluan penyelarasan ini, kerajaan negeri juga akan melakukan kajian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.