
Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihak pendakwaan juga memfailkan beberapa pertuduhan jenayah lain terhadap bekas perdana menteri itu sejak 2018.
“Pihak pendakwaan melakukan ‘pengeboman lata-luas’ ke atas kami, dan Najib tampil ke mahkamah setiap minggu sejak beberapa tahun lalu. Kami juga menderita kerana terpaksa bertemu dengannya di penjara,” tambahnya.
Najib dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022, apabila Mahkamah Persekutuan mengesahkan hukuman penjara ke atas beliau dalam kes SRC International. Tempoh pemenjaraan bagi kes ini telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun.
Beliau dituduh salah guna kuasa, CBT, dan pengubahan wang haram dan kes SRC International yang telah selesai, serta perbicaraan 1MDB yang sedang berjalan.
Najib juga dituduh atas pengubahan wang haram dalam kes SRC International berhubung dana RM27 juta, yang dijadualkan untuk perbicaraan pada 21 April tahun depan.
Shafee berkata bagi kes IPIC, pihak pendakwaan kata bukan salah mereka apabila gagal memperoleh dokumen yang telah dinyahrahsiakan daripada beberapa kementerian.
“Kami sudah lama meminta pihak pendakwaan menyerahkan dokumen-dokumen itu. Mengapa kamu tuduh anak guam saya sedangkan kamu tidak bersedia?” soalnya.
Shafee mengemukakan hujah beliau di hadapan Hakim Jamil Hussin, dalam usaha untuk melepaskan Najib tanpa membebaskannya (DNAA).
Najib dan bekas ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar Abdullah, dituduh atas enam tuduhan pecah amanah harta kerajaan, berkaitan bayaran kepada IPIC, sebuah perbadanan milik kerajaan Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu.
Mereka pernah memohon DNAA namun dua kali ditolak oleh Jamil.
Timbalan Pendakwa Raya Saifuddin Hashim Musaimi hari ini berkata pihak pendakwaan belum memperoleh dokumen-dokumen yang sebelum ini dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi, namun mereka bersedia untuk perbicaraan.
Pihak pembelaan bagaimanapun membantah, kerana Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyatakan pihak tertuduh mesti mendedahkan kenyataan pembelaannya kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula.
Pihak pembelaan meminta DNAA, bermakna pihak pendakwaan boleh mula perbicaraan apabila mereka sudah bersedia.
Shafee berhujah bahawa hakim Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa untuk memerintahkan DNAA tanpa dipohon pihak pendakwaan.
“Kes ini bermula enam tahun lalu dan perbicaraan ini akam mengambil masa dua tahun berdasarkan bilangan saksi dan dokumen,” katanya, dan menambah perkembangan semasa suatu penyalahgunaan proses dan menindas Najib.
Sementara itu, peguam Irwan, K Kumaraendran, berhujah beliau bingung bagaimana pihak pendakwaan mulakan kes walaupun tidak memiliki dokumen berkaitan dua tuduhan pertama yang dihadapi anak guamnya.
“Anak guam saya seorang warga emas dan tidak akan melarikan diri. Kes ini membuatkan dia rasa tertekan.
“Pihak pendakwaan telah membuang masa badan kehakiman. Anak guam saya telah diprejudiskan kerana dia tidak akan dapat perbicaraan yang adil,” tambahnya.
Jamil menangguhkan kes ke Rabu, untuk memberikan masa kepada pihak pendakwaan untuk mengkaji sama ada mahkamah boleh memerintahkan DNAA tanpa mereka memohonnya.