‘Kami sedia jutaan ringgit setiap tahun’, exco jawab Melaka tak serius cegah banjir

‘Kami sedia jutaan ringgit setiap tahun’, exco jawab Melaka tak serius cegah banjir

Minggu lalu, pembangkang mendakwa kerajaan Melaka tidak serius dan tiada perancangan dalam menyelesaikan masalah banjir kilat yang berulang.

banjir melaka
Ketua Pembangkang Dr Mohd Yadzil Yaakub mendakwa banjir kilat bukan hanya merosakkan harta benda awam tetapi jejas sambutan Tahun Melawat Melaka 2024. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Melaka membidas tuduhan mereka tidak serius menyelesaikan isu banjir, kata Exconya Rais Yasin sambil menjelaskan lebih RM10 juta diperuntuk kepada pelbagai agensi setiap tahun bagi perkara itu.

Exco perumahan, kerajaan tempatan, saliran, perubahan iklim dan pengurusan bencana negeri itu menyifatkan dakwaan Ketua Pembangkang Dr Mohd Yadzil Yaakub sebagai hanya bermain politik untuk memburukkan kerajaan tanpa mengambil kira fakta.

“Kerajaan negeri salur RM10 juta setahun kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk melaksanakan kerja membaiki hakisan, menyelenggara longkang serta memperbaiki sistem perparitan di bawah operasinya.

“Empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Melaka juga turut memperuntukkan jutaan ringgit setiap tahun bagi menyelesaikan isu banjir khususnya di taman perumahan dengan melaksanakan kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan,” katanya kepada FMT.

Minggu lalu, Yadzil menegur pengurusan bencana negeri yang disifatkan tidak serius dan tiada perancangan dalam menyelesaikan masalah banjir kilat yang berulang kebelakangan ini.

Dakwanya, banjir yang menenggelamkan beberapa kawasan bukan saja merosakkan harta benda awam dan kerugian besar, malah menjejaskan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024.

Mengulas lanjut, Rais berkata selain perancangan jangka pendek, Melaka dan Putrajaya turut bekerjasama bagi melaksanakan usaha untuk mengatasi masalah banjir kilat termasuk pembinaan tujuh projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan peruntukan lebih RM1 bilion.

Projek berkenaan membabitkan beberapa skop seperti membina kolam takungan banjir dan saliran air bagi memudahkan aliran air ke sungai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.