Gerakan ‘tentang’ PAS kerana terdesak raih undi bukan Melayu

Gerakan ‘tentang’ PAS kerana terdesak raih undi bukan Melayu

Penganalisis berkata Gerakan juga mahu dilihat relevan dengan menggunakan perbalahan antara PAS dan Bersatu mengenai isu calon perdana menteri.

Gerakan mahu dilihat relevan dan mampu bersuara dalam Perikatan Nasional dengan mengusulkan deklarasi untuk bukan Melayu selain menggunakan isu calon perdana menteri, kata penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sikap Gerakan yang dilihat ‘tidak sebulu’ dengan rakan gabungannya PAS sejak akhir-akhir ini memperlihatkan parti itu terdesak dalam memenangi sokongan pengundi bukan Melayu.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata selain ‘isu deklarasi’, Gerakan cuba menggunakan perbalahan antara PAS dan Bersatu berkaitan isu calon perdana menteri hanya kerana mahu membuktikan ia relevan di mata bukan Melayu.

“Kedudukan PAS yang kuat memperlihatkan Gerakan tak relevan, tak dipandang pengundi bukan Melayu.

“Jadi Gerakan ambil peluang untuk bersama Bersatu dan menongkah PAS, dengan menggambarkan walaupun dalam PN parti itu kuat, Gerakan mampu bersuara demi menarik undi bukan Melayu menyokong PN,” katanya kepada FMT.

Azmi berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Gerakan pimpinan Dominic Lau yang mengusulkan PN membuat deklarasi mengenai hak orang bukan Melayu dan menyokong Muhyiddin sebagai ‘poster boy’ PN.

Semalam Lau berkata beliau akan membangkitkan kedua-dua ‘topik hangat’ itu pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN bagi menyelesaikan perselisihan sesama mereka.

Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Syaza Shukri juga senada dengan pandangan Azmi dengan berkata, tindakan yang dibuat Gerakan hanya mahu membuktikan gabungan itu dilihat ‘berbilang bangsa’.

“Ini cara untuk Gerakan mendapat sokongan bukan Melayu, walaupun sebenarnya sokongan bukan Melayu tidak pergi ke PN pun. Sebenarnya Gerakan dalam keadaan terdesak.

“Berada dalam PN adalah cara Gerakan untuk bezakan mereka daripada DAP dan MCA. Tapi dengan berada dalam PN, peluang Gerakan memang sempit. Tapi mereka perlu bersuara, kalau tidak memang ‘hilang’ terus atau nampak Gerakan tak relevan,” katanya.

Lau Zhe Wei yang juga dari UIAM pula berpendapat tindakan Gerakan hanya bagi mengukuhkan kedudukan Muhyiddin Yassin walaupun parti itu sedar mereka tidak mampu menarik sokongan bukan Melayu.

“Kalau dipimpin oleh PAS, kedudukan Gerakan teruk, saya tak hairan Gerakan bersuara sebegitu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.