
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Izani Husin berkata setakat ini hanya terdapat 43 LRA yang tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan bekalan air bagi seluruh rakyat.

“Kerajaan negeri memberi perhatian serius terhadap masalah bekalan air ini, dan dengan penambahan 11 LRA lagi yang bakal dilengkapi dengan enap cemar, diharap dapat mencukupi keperluan menjelang tahun 2028,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kamaruzaman Mohamad (PAS-Gual Periok) mengenai perkembangan proses baik pulih sumber air bersih Air Kelantan Sdn Bhd untuk kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas pada persidangan DUN Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu.
Izani berkata bagi kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas, kerajaan negeri sedang berusaha membina LRA Kelar 2 di daerah itu, yang dijangka siap pada 2028.
Katanya, LRA itu akan mempunyai kapasiti 2.5 juta liter sehari, jauh lebih tinggi berbanding bekalan semasa yang hanya 1.35 juta liter sehari.
“Projek ini telah diluluskan, namun apabila tender dibuka, kosnya melebihi anggaran asal. Oleh itu, kita menjangkakan tender ini akan selesai pada Disember depan,” katanya.
Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Mohamad Nasriff Daud (PAS-Pengkalan Pasir), beliau berkata kerajaan negeri tidak akan meletakkan lori tangki air di kawasan terjejas bekalan untuk jangka masa panjang kerana penghantaran air menggunakan lori tangki diberikan percuma kepada rakyat, dan kos tersebut ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri.
“Jika kaedah ini berterusan, ia akan merugikan kerajaan negeri. Namun, kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.
“Malah, dalam pembentangan Belanjawan Kelantan 2025 baru-baru ini, kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan sebanyak RM2 juta daripada kerajaan persekutuan untuk membina telaga tiub di kawasan pinggiran termasuk di Rantau Panjang, sebagai tindakan jangka pendek sementara menunggu LRA berkenaan siap dibina,” katanya.