
MAS berkata, penerbangan itu membawa 147 penumpang dan tujuh anak kapal selamat mendarat pada 10.40 pagi tadi.
Katanya, demi kepentingan keselamatan, juruterbang bertugas membuat keputusan melencongkan penerbangan bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi asal, Kuala Lumpur.
Menurut Berita Harian, penumpang kini sedang dialihkan ke penerbangan alternatif untuk memastikan mereka tiba di destinasi masing-masing, sementara sebahagian daripada mereka disediakan penginapan di hotel berdekatan lapangan terbang.
MAS turut menyatakan kekesalan atas kesulitan dan gangguan kepada rancangan perjalanan penumpang.
Pada 1 Sept lalu, penerbangan MH66 dalam perjalanan ke Seoul, Korea Selatan, berpatah balik ke KLIA Terminal 1. Menurut Flightradar24, penerbangan itu dijadualkan berlepas pada 11.30 malam, tetapi hanya berlepas sekitar 12.01 pagi.
Pada Ogos, penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Alice Springs akibat masalah enjin di udara.
Menurut SBS News Australia, MH128 berlepas dari Melbourne sekitar pukul 11.20 malam pada 19 Ogos tetapi terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs pada awal pagi berikutnya.
Tiga penerbangan MAS sebelum ini juga membuat pendaratan kecemasan.
Pada 4 Ogos, sebuah penerbangan Malaysia Airlines yang membawa 259 jemaah umrah menuju ke Jeddah berpatah balik ke KLIA disebabkan masalah teknikal sejurus selepas berlepas.
Pada 24 Jun, sebuah penerbangan ke Bangkok juga berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara.
Pada 20 Jun, sebuah penerbangan Malaysia Airlines dengan lebih daripada 100 penumpang menuju ke Kuala Lumpur membuat pendaratan kecemasan di lapangan terbang Hyderabad, India, disebabkan masalah enjin.
Kesan daripada masalah itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengurangkan tempoh pembaharuan sijil perakuan pengendali udara (AOC) MAS daripada tiga tahun kepada satu tahun.
Langkah itu susulan syarikat penerbangan nasional itu berdepan isu signifikan menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawatnya, termasuk terpaksa berpatah balik.