
Perdana menteri berkata, setakat ini beliau mendapat kerjasama baik daripada kerajaan negeri, termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dikuasai Perikatan Nasional (PN), dalam isu melibatkan urusan kerajaan.
“Dalam perbincangan dengan semua semua menteri besar termasuk pembangkang, saya kata dalam soal urusan kerajaan, kita runding dengan baik.
“Apa keperluan (negeri) kita laksanakan dan beza politik kita ketepikan, jadi saya belum nampak ada pertentangan dalam hal ini,” katanya pada sesi dialog awam Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof serta barisan Jemaah Menteri.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga menteri kewangan bagaimanapun mengakui terdapat sedikit percanggahan pandangan antara negeri pembangkang dan persekutuan khususnya melibatkan bayaran royalti.
Namun, beliau sekali lagi menegaskan peruntukan pembangunan diterima negeri pembangkang jauh lebih tinggi daripada bayaran royalti yang diambil Putrajaya.
“Kadang-kadang disebut tentang soal yang agak berbeza pendapat sedikit, iaitu soal royalti, tapi saya bagi angka.
“Untuk Perlis, Kelantan, Terengganu, Kedah, (peruntukan) itu jauh lebih tinggi dari tahun sebelumnya dan kalau kita kumpulkan lebih tinggi dari jumlah royalti yang kita ambil.
“Tapi fakta itu tak sampai ke bawah sebab ini soal politik lah,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan persekutuan memandang berat isu kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas di setiap negeri, termasuk meluluskan peruntukan segera sekiranya melibatkan kepentingan awam.
“Bagi saya, ini kerja kita, soal kerjasama dari segi persekutuan cukup jelas, jadi kalau negeri ambil sikap positif, ia memudahkan … kalau ambil sikap bengis, ia mempersulit,” katanya.