
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Shahzihan Ahmad, berkata jika dana zakat dikutip dan diagihkan dengan cara melanggari ketetapan, ia juga mengundang implikasi undang-undang.
“Bahkan, akan menyebabkan berlakunya ketirisan serta kekangan dalam menjamin kelangsungan pembangunan rohani dan sosioekonomi umat Islam di Selangor,” katanya menurut Bernama, sambil menambah 71,000 asnaf itu berdaftar sejak September 2024.
Justeru, beliau mengingatkan pentadbir masjid dan surau boleh dikenakan tindakan jika membenarkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah.

Katanya, perbuatan sedemikian adalah salah dan penderma yang menderma atas niat zakat adalah tidak sah dan tidak melepaskan kewajipan zakatnya.
“Susulan itu, Jais telah mengeluarkan arahan pematuhan dan langkah kawalan berhubung kutipan zakat, wakaf, dan infak di masjid serta surau seluruh Selangor melalui surat pekeliling bertarikh 11 Nov.
“Pihak pentadbir masjid dan surau boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana melakukan kesalahan dengan menyebabkan perbuatan mengutip zakat tanpa tauliah majlis yang dilakukan oleh individu atau pihak terbabit,” katanya.
Shahzihan berkata, tindakan akan dikenakan selaras Seksyen 37 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Perkara ini jelas dan selaras dengan ketetapan hukum yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 8 Ogos 2024 berkaitan ‘Hukum Pihak Yang Tidak Dilantik Atau Diberi Kuasa Yang Sah Membuat Kutipan Zakat Atau Mengagihkannya’ yang telah diperkenankan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah,” katanya.