Kenneth Jonassen ketua jurulatih baharu perseorangan negara

Kenneth Jonassen ketua jurulatih baharu perseorangan negara

Jurulatih dari Denmark yang menandatangani kontrak selama empat tahun akan memulakan tugas secara rasmi 4 Jan ini.

Kenneth Jonassen
Bekas pemain nombor dua dunia, Kenneth Jonassen pernah memenangi gelaran berprestij seperti Terbuka Jerman, Korea, Belanda dan Singapura, sepanjang kariernya. (EPA Images pic)
KUALA LUMPUR:
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan jurulatih berpengalaman dari Denmark Kenneth Jonassen, sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu.

Perkembangan dinanti-nantikan itu diumumkan Pemangku Presiden BAM V Subramaniam pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini.

Subramaniam berkata Jonassen yang menandatangani kontrak selama empat tahun, akan memulakan tugasnya secara rasmi bermula 4 Jan 2025.

Beliau berkata sebahagian daripada tugasnya, Jonassen akan bekerjasama rapat dengan Pengarah Kejurulatihan ABM Rexy Mainaky untuk merangka pelan pembangunan jangka panjang bagi program perseorangan Malaysia.

Jonassen mempunyai rekod prestasi yang terbukti antaranya selepas memainkan peranan penting dalam membentuk legasi badminton Denmark selama 13 tahun.

Sebelum ini, jurulatih berusia 50 tahun itu pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih England.

Bekas pemain nombor dua dunia itu pernah memenangi gelaran berprestij seperti Terbuka Jerman, Korea, Belanda dan Singapura, sepanjang kariernya.

Sementara itu, Subramaniam turut mengumumkan bekas presiden BAM Norza Zakaria dilantik sebagai presiden kehormat seumur hidup badan induk itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.