
Anwar yang juga menteri kewangan mempersoalkan kritikan terhadap kerajaannya yang melaksanakan sesuatu prosedur secara bersih apabila meminta syarikat swasta menyertai lawatannya membayar sendiri kos mereka.
“Yang ikut rombongan syarikat swasta berpotensi untuk melabur atau mencari melabur seperti Proton, Petronas, Yinson, Sapura Energy, Top Glove dan syarikat semi konduktor…mereka sertai rombongan dan bayar kos sendiri.
“Itu pun jadi salah? Jadi negara ini kalau kita layan sangat yang curi, sakau dan rompak itu dipuja, tetapi kita cuba jalankan program cara bersih itu dicerca.
“Ini dipanggil jaman edan…separuh gila,” katanya pada sesi ‘townhall’ sempena sambutan dua tahun kerajaan Madani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan kerajaan menjimatkan hampir RM1 juta membabitkan kos penerbangan sewaan khas pesawat MAS jenis Airbus A350 membawa Anwar bersama delegasi rasmi dalam lawatan ke lima negara, baru-baru ini.
Katanya, kerajaan hanya membiayai delegasi rasmi berjumlah RM1.662 juta bersamaan dengan 27% daripada kos keseluruhan, manakala delegasi perniagaan membayar 73% daripada jumlah terbabit ataupun RM4.5 juta.
Kos penerbangan sewaan khas itu adalah sebanyak RM6.162 juta.
Anwar melakukan lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 Nov lalu atas jemputan rakan sejawatannya Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh di Shanghai.
Beliau kemudian ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil mulai 9 Nov hingga 19 Nov.
Ambil gaji tahun depan
Sementara itu, Anwar secara berseloroh berkata mungkin terpaksa mengambil gaji sebagai perdana menteri mulai tahun depan selepas keputusan dibuat sejak mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada 2022 dikritik ramai terutama pembangkang.
Katanya, ketika penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji bermula Disember ini, gaji menteri Kabinet masih kekal selain potongan 20%.
“Bila saya kata tak ambil gaji kena sindir. Jadi mungkin tahun depan saya kena ambil semula gaji.
“Aneh tak? kita tak ambil (gaji perdana menteri) tapi elaun Parlimen ada, (isteri) (Dr Wan) Azizah (Wan Ismail) pun dapat elaun Parlimen (sebagai Ahli Parlimen Bandar Tun Razak)…campur dua oklah tu,” katanya mengkritik politik picisan seumpama itu.