Gesaan PAS ketuai PN gambarkan Bersatu di titik paling lemah, kata penganalisis

Gesaan PAS ketuai PN gambarkan Bersatu di titik paling lemah, kata penganalisis

Mohammad Tawfik Yaakub berkata Bersatu terpalit dengan kontroversi enam wakilnya sokong kerajaan, kalah PRK.

perhimpunan agung bersatu
Penganalis berkata kedudukan Bersatu di Dewan Rakyat terjejas apabila enam Ahli Parlimen mengalihkan sokongan kepada Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kenyataan seorang pemimpin PAS yang parti itu layak memimpin Perikatan Nasional (PN) menunjukkan Bersatu pada kedudukan titik paling lemah, kata penganalisis.

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata, keadaan itu dipercayai kegagalan Bersatu mengawal Ahli Parlimennya, merujuk tindakan enam wakil rakyat berpaling tadah menyokong Anwar Ibrahim.

Selain itu, katanya, pengaruh Bersatu dilihat semakin hambar apabila kalah semua PRK selepas PRU15 dan PRN enam negeri, selain ‘kekalutan’ dalam proses pemilihannya, awal bulan ini.

“Kenyataan mursyidul am PAS itu membuktikan Bersatu berada pada tahap paling lemah sejak ditubuhkan dan Bersatu juga telah hilang kepercayaan daripada PAS untuk menerajui PN.

“Apatah lagi membuat keputusan arah tuju PN sekarang serta pada masa depan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Mursyidul Am Hashim Jasin berkata PAS lebih layak memimpin PN kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen dan mempunyai jentera akar umbi yang kuat.

Bekas Adun Sanglang itu berkata, PAS juga tiada rekod atau masalah lompat parti berbanding Bersatu yang ketika ini terbukti banyak kepincangan, menurut Utusan Malaysia.

Hashim mengulas kenyataan Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu, yang Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan perdana menteri bagi gabungan pembangkang pada PRU akan datang.

PAS ketika ini memiliki 43 kerusi Parlimen iaitu terbesar dalam PN berbanding 31 dimenangi Bersatu pada PRU15 namun berkurangan kepada 25 selepas enam wakil rakyatnya menyokong Anwar.

PAS juga memerintah Perlis, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Tak semestinya parti berpengaruh, kuat pimpin gabungan

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, juga setuju kekuatan PAS dalam arena politik jauh ke hadapan berbanding rakan dalam PN khususnya Bersatu yang semakin hari hilang kepercayaan akar umbinya.

Ditambah parti bukan Melayu iaitu Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) yang disifatkan ‘tidak boleh diharap sangat’, kata Azmi.

Bagaimanapun, beliau berpandangan ciri-ciri ‘ketua gabungan’ tidak seharusnya berpandukan kepada angka siapa paling banyak, sebaliknya kemampuan individu itu memimpin.

“Bersatu seharusnya menerajui PN sebagai ketua gabungan atau ketua pembangkang kerana pada saya, wakil rakyat Bersatu lebih layak dan lebih lantang dalam membawa PN ke arah lebih kuat,” katanya.

Katanya, PN juga bakal berdepan kesukaran menarik undi bukan Melayu jika meletakkan pemimpin daripada PAS sebagai ‘poster boy’, memandangkan parti itu sinonim dengan imej ‘ekstrem dan parti pak lebai’.

Dr Sam calon PM berpotensi PAS

Mengulas calon perdana menteri berpotensi daripada PAS, Tawfiq dan Azmi senada menamakan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar atau popular sebagai Dr Sam berdasarkan sikap profesionalnya ketika berada di pentas politik.

“Saya lihat calon bakal PM atau ‘poster boy’ yang sesuai ialah Dr Sam.

“Ahli Parlimen Kemaman itu profesional dalam hubungan dengan kerajaan pusat dan boleh mengawal tingkah laku dengan baik sama ada dalam ceramah politik ataupun dalam urusan rasmi kerajaan,” kata Tawfiq.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.