3,000 bungkusan air ketum dirampas di Ipoh

3,000 bungkusan air ketum dirampas di Ipoh

Sindiket jual air ketum disyaki aktif sejak dua tahun lalu.

ketum
Selain bungkusan air ketum, turut dirampas daun ketum seberat 350kg dengan nilai keseluruhan RM41,000. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Sejumlah 3,000 bungkusan air ketum antara dirampas susulan penahanan enam lelaki di sebuah rumah di Taman Pakatan Jaya, Ipoh.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata semua suspek berusia lingkungan 24 hingga 42 tahun ditahan kira-kira 12.10 tengah malam semalam.

Katanya, sindiket itu dipercayai aktif dalam aktiviti pengedaran air ketum sejak dua tahun lalu.

“Hasil ujian air kencing mendapati seorang suspek positif dadah jenis amphetamina, dan methamphetamine, manakala hanya dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, bungkusan air ketum dirampas dianggarkan seberat 900 liter, 35 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 350kg dengan nilai keseluruhan RM41,000.

Air ketum dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 3,000 penagih ketum dan bekalan itu adalah untuk pasaran sekitar kawasan Ipoh.

Semua suspek direman tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.