
Ketuanya Dr Akmal Saleh menyeru kerajaan meneliti semula keputusan itu kerana ia tidak mengambil kira realiti pekerja syif yang berbeza daripada mereka yang bekerja waktu pejabat biasa.
“Antaranya waktu kerja tidak menentu kehilangan cuti umum dan tekanan fizikal dan mental yang tinggi berdasarkan perkhidmatan diperlukan,” katanya dalam kenyataan.
Mengambil contoh pekerja syif di sektor keselamatan dan kesihatan, Akmal menjelaskan golongan terbabit bekerja tanpa henti, termasuk pada waktu malam, hujung minggu, dan cuti umum.
“Keputusan untuk meningkatkan waktu bekerja ini…berisiko menambah tekanan kepada mereka yang telah pun terdedah kepada risiko ‘burnout’,” katanya.
Akmal berkata, penyelarasan waktu bekerja sektor awam itu dinyatakan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 berkaitan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), diumumkan baru-baru ini.
Katanya, bantahan rasmi akan kemukakan kepada pihak berkaitan, untuk menegaskan pendirian Pemuda Umno.
Perkembangan ini menyusuli kenyataan Pengerusi DAP Lim Guan Eng pada Rabu, yang berpendapat adalah tidak adil untuk menambah waktu bekerja kakitangan kerajaan tidak berpejabat.
Malaysiakini melaporkan beliau sebagai berkata, kadar waktu bekerja akan ditingkatkan mulai 1 Dis ini.
Mengulas lanjut, Pemuda Umno mencadangkan waktu bekerja 42 jam seminggu dikenalkan bagi pekerja yang bekerja secara syif, serta pampasan atau cuti gantian bagi pekerja syif yang bertugas pada cuti umum.
Sayap itu juga meminta kerajaan mempertimbangkan pengenalan polisi kiraan jam setara, agar penjawat awam yang bekerja secara syif dapat mencapai jumlah jam kerja yang setara dengan penjawat awam yang bekerja pada waktu biasa.
“Polisi ini bukan sahaja dapat memastikan kesaksamaan tetapi juga menghargai pengorbanan penjawat awam yang bekerja di luar waktu bekerja normal,” katanya.
Pemuda Umno juga menyeru wakil pekerja dilibatkan dalam membuat keputusan dasar yang melibatkan kebajikan mereka.
Semalam, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dilapor menyifatkan arahan baharu di bawah SSPA yang memerlukan jururawat di wad hospital bekerja tambahan tiga jam seminggu sebagai munasabah.
Beliau berkata kebajikan barisan hadapan kesihatan itu akan lebih terjaga menerusi waktu bekerja syif yang lebih fleksibel, menurut Berita Harian.
Dzulkefly mengulas kebimbangan Kesatuan Jururawat Malaya yang menyifatkan tidak adil membandingkan jururawat yang bekerja secara syif, termasuk tugas malam, dengan pekerja pejabat yang hanya bekerja pada hari biasa.