
KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu tidak berubah dengan 29 mangsa ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara di Kemaman, setakat 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan semua mangsa daripada enam keluarga itu masih lagi berlindung di Balairaya Padang Kemunting di Kemaman.
Sementara itu, menurut laman web publicinfobanjir paras air sungai di lima lokasi kini berada pada paras amaran dan menunjukkan trend menaik.
Lima lokasi sungai tersebut adalah Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih di Kemaman; Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit di Setiu; dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu di Hulu Terengganu.