
Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mengumumkan perkara itu ketika membentangkan belanjawan negeri bagi 2025 berkata, bantuan yang akan dibayar bulan depan itu melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM6.88 juta.
“BKK RM300 pula akan disalurkan kepada penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain, guru Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR), guru Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR), kakitangan SRAR, SMAR, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, guru tahfiz, guru pondok, guru tadika Islam, serta guru dan kakitangan sekolah persendirian Cina negeri Pulau Pinang,” katanya ketika membentangkan belanjawan pada sidang DUN.
Sementara itu, Chow berharap penjawat awam komited menggembleng tenaga dan melipatgandakan usaha dalam memenuhi aspirasi negeri susulan pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan berkuat kuasa 1 Dis ini.
“Peningkatan hasil negeri, politik yang stabil dan sikap positif untuk pembangunan negeri sudah pastinya bertunjangkan kepada keberhasilan seluruh anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang,” katanya.