Lantik pengurus dana bertauliah di GLC, ahli ekonomi gesa kerajaan agresif

Lantik pengurus dana bertauliah di GLC, ahli ekonomi gesa kerajaan agresif

Nazri Khan berkata GLC dan GLIC perlu pakar bidang pelaburan atau pengurus dana bertauliah untuk kawal selia aset bagi memastikan tiada kerugian dana awam.

Kerugian Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta dalam syarikat FashionValet menjadi perdebatan ramai baru-baru ini. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Ketidakcekapan dalam pelaburan membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah bagi mengelakkan pelaburan tidak menguntungkan, kata seorang ahli ekonomi.
Nazri Khan.

Nazri Khan berkata tidak salah untuk kerajaan melabur dalam syarikat termasuk kategori pemula, namun penting untuk mengetahui potensi dan keupayaan syarikat berkenaan dalam pasaran perniagaan sebelum sebarang dana dilaburkan.

Beliau mengulas kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta dalam syarikat platform e-dagang, FashionValet.

Beliau berpandangan GLC dan GLIC perlu melantik pakar dalam bidang pelaburan atau pengurus dana bertauliah untuk mengurus dan mengawal selia aset pelaburan bagi memastikan tiada kerugian dana awam berlaku.

“Bila sebut pakar pelaburan, mereka inilah yang mempunyai akses terus kepada dana-dana. Ya kita ada CFO (ketua pegawai kewangan) di syarikat-syarikat ini namun mereka bukan pakar dalam pelaburan atau seorang ‘trader’.

“Jadi setiap GLC, GLIC mesti kena ada pakar pelaburan yang tepat sesuai dengan sektor tertentu. Contoh sektor perladangan berbeza dengan industri keluli. Jadi mesti kena pilih individu tepat untuk menguruskan setiap dana,” katanya kepada FMT sambil menyifatkan perniagaan e-dagang adalah sektor tidak menentu dan sukar diramal.

Tambahnya, kegagalan pelaburan dana awam itu jelas menunjukkan ketidakcekapan perancangan, yang mengakibatkan susut nilai drastik di bawah nilai pegangan saham.

“Isu hangat dibincangkan sekarang ialah, kenapa keluar sekarang (jual saham dalam FashionValet)? Syarikat itu mengalami kerugian sejak beberapa tahun sebelum ini lagi.

“SOP pelaburan perlu jelas selaras dengan model perniagaan GLIC itu,” katanya yang mendapat pengiktirafan sebagai anak Malaysia pertama dinobatkan sebagai Juara Trader Dunia 2024 di pentas World Cup Trading Championship.

Menyentuh reformasi di sektor GLC dan GLIC, Nazri berpendapat perubahan itu berlaku agak perlahan daripada diramalkan pemerhati ekonomi.

“Sebagai seorang ahli ekonomi, saya rasa tahap pelaksanaan reform agak perlahan daripada apa yang kita harapkan.

“Ahli ekonomi mahu saksikan lebih agresif (reformasi struktur dalam GLC dan GLIC), jadi lantik orang profesional seperti pengurus dana bertauliah adalah langkah agresif.

“Tak perlu ambil orang luar pun, orang kita dah ramai yang pakar dalam ilmu pelaburan dan kewangan,” kata ketua pegawai pelaburan Berjaya Mutual Sdn Bhd itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.