Disyaki curi di kuil, sami Malaysia ditahan di Thailand

Disyaki curi di kuil, sami Malaysia ditahan di Thailand

Sami berusia 50 tahun dari Malaysia yang menetap di kuil Buddha itu menghilangkan diri selepas kes kecurian berlaku.

wat chet yot
Wat Chet Yot di wilayah Chiang Mai membuat laporan polis kehilangan barang berharga. (Gambar Wikipedia)
BANGKOK:
Seorang sami warga Malaysia ditahan di Chiang Rai, utara Thailand semalam kerana disyaki mencuri barang berharga dari kuil Buddha, Wat Chet Yot di wilayah Chiang Mai, menurut polis Thailand.

Superintenden Pusat Pemeriksaan Imigresen Chiang Saen di Chiang Rai, Chinakorn Atsawaphum dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan bermula selepas polis Chang Phueak di Chiang Mai menerima laporan kehilangan barang berharga daripada wat itu.

“Polis mendapati suspek, sami dari Malaysia yang menetap di kuil itu, menghilangkan diri selepas kecurian,” katanya sambil menjelaskan waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Wilayah Chiang Mai pada 20 Nov lalu.

Beliau berkata, sami berusia 50 tahun itu ditahan dekat Wat Phra Chao Lan Thong di Chiang Rai kira-kira 12 tengah hari semalam.

“Suspek mengaku dia individu dinamakan dalam waran tangkap. Siasatan kes ini sedang diteruskan,” kata Chinakorn.

Sebelum pihak berkuasa Thailand meneruskan tindakan undang-undang, Chinakorn berkata, suspek yang mungkin berdepan tuduhan mencuri di kediaman mungkin dilucutkan status saminya terlebih dahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.