Terima hakikat hak mutlak Sarawak ke atas sumbernya

Terima hakikat hak mutlak Sarawak ke atas sumbernya

Senator Robert Lau berkata lebih 50 tahun kerajaan persekutuan menikmati hasil kekayaan negeri.

oil rig petronas
Senator Robert Lau berkata, Petronas mesti menerima hakikat Sarawak punya hak mutlak mengawal sumber dalam wilayahnya. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Tiba masa semua pihak menerima hakikat Sarawak mempunyai hak mutlak ke atas sumber gasnya, kata seorang senator.

Robert Lau berkata, lebih 50 tahun kerajaan persekutuan dan Petronas menikmati manfaat besar daripada kekayaan bumi Sarawak.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana hasil kekayaan tersebut dimanfaatkan.

“Petronas dan kerajaan persekutuan telah menikmati manfaat daripada hasil kekayaan Sarawak selama 50 tahun. Bagaimana wang ini dibelanjakan?

“Berapa banyak yang dikembalikan untuk membangunkan Sarawak?” katanya menurut Utusan Borneo.

Lau turut mempersoalkan janji pembangunan pesat sebagai antara sebab utama Sarawak membentuk Malaysia pada 1963, sambil menambah kerajaan persekutuan kini telah menanggung hutang sebanyak RM1.5 trilion.

“Secara moral, negara berhutang kepada Sarawak setelah meraih keuntungan lebih RM1 trilion.

“Ucapan terima kasih sepatutnya diberikan, bukannya pandangan negatif terhadap keputusan Sarawak melantik Petros sebagai agregator tunggal gas,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab kritikan beberapa pihak termasuk bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, yang menyifatkan tindakan Sarawak dalam menuntut kawalan gas sebagai bentuk ugutan dan ancaman.

Baru-baru ini, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Julaihi Narawi pada sidang DUN, berkata Sarawak menyumbang lebih 60% pengeluaran gas asli Malaysia, namun 94% daripadanya digunakan Petronas untuk menghasilkan gas asli cecair (LNG) bagi tujuan eksport.

Katanya, hanya enam peratus gas asli Sarawak digunakan untuk industri tempatan dan penjanaan kuasa.

Semalam, Premier Sarawak Abang Johari Openg dalam sidang DUN, menegaskan hak negeri ke atas pelantar benua dalam sempadannya tidak boleh atau tidak berhak dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

Beliau berkata, tindakan itu tidak hanya bertentangan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), malah melanggar Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak.

Katanya, dasar laut dan bawah tanah Sarawak, yang asalnya ‘Crown Land’ di bawah Kanun Tanah 1958, menjadi hak milik kerajaan Sarawak selepas pembentukan Malaysia pada 1963.

Beliau berkata, MA63 dan Akta Malaysia, United Kingdom 1963, tidak ada tanah dipindah milik termasuk pelantar benua dalam sempadan Sarawak di persekutuan atau kerajaan persekutuan.

Justeru, kerajaan persekutuan tidak mempunyai hak pemilikan ke atas dasar laut dan bawah tanah Sarawak atau pelantar benuanya, kerana ia hak penuh Sarawak menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.