
Pengurus besar Tabung Amanah Pendidikan Melaka itu berkata, reformasi perlu dilakukan terhadap sistem pentadbiran dan sukatan pelajaran SK yang kadar kemasukan pelajar, khususnya bukan Melayu menunjukkan trend penurunan.
“Mungkin boleh dijenamakan semula dengan memfokuskan mata pelajaran Sains dan Matematik seperti sekolah vernakular atau swasta, di samping memperkasakan bahasa-bahasa asing. Patut ada asimilasi sebagaimana bahasa Arab ditawarkan.
“Dengan penguasaan pelbagai bahasa, mungkin kebolehpasaran akan jadi lebih tinggi,” katanya dalam Wacana Sinar “Sekolah Kebangsaan bukan lagi pilihan utama?” malam tadi.
Beliau berkata, usaha mengangkat semula martabat SK boleh dilakukan menerusi penampilan “ikon hebat” seperti Nur Amalina Che Bakri yang memperoleh 17A1 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004, meskipun datang dari SK.
“Dia datang dari SK dan sekolah menengah kebangsaan jauh dari desa, tetapi boleh menandingi kolej ternama swasta yang turut menawarkan SPM.”
Beliau turut mencadangkan pengetua diberi kelonggaran atau sedikit kuasa untuk merencanakan SK berdasarkan bakat dan keperluan pelajar.
“Tidak hanya terkongkong dengan sukatan pelajaran dan ‘disuapkan’ pelbagai arahan kementerian sehingga daya kreativiti dan inovasi mereka terkubur kerana terlalu mengejar silibus. Ini secara langsung menambah beban guru.
“Kredibiliti dan kewibawaan untuk membina insan berkepakaran dan berkemahiran mengikut potensi pelajar tidak dapat kita laksanakan. Semua itu memerlukan semak dan imbang dengan memberi kelonggaran.”
Bekas presiden Kongres Kesatuan Guru-guru dalam Perkhidmatan Pelajaran, Jasni Md Kechik, berkata usaha “menguar-uarkan” kejayaan SK harus dilakukan bagi meningkatkan keyakinan masyarakat.
“Promosi apa yang mereka (guru) lakukan supaya dapat tarik minat waris bangsa lain ke SK. Kalau ada banyak kejayaan, barulah orang yakin dengan kita,” katanya sambil menambah pencapaian itu membabitkan akademik, kurikulum dan sahsiah pelajar.