
Pada 14 Nov lalu, CEO PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid dilaporkan berkata perbadanan itu mempertimbangkan untuk menghentikan pembiayaan untuk kursus universiti yang mempunyai kadar pembayaran balik di bawah 30%.
Norliza berkata cadangan Dasuki itu dibuat dalam satu bengkel dalam talian.
“Bagaimanapun, tiada keputusan dibuat kerana kita perlu melakukan kajian lanjut di mana ia belum lagi bermula,” katanya kepada FMT.
Norliza berkata apabila kajian itu selesai, PTPTN akan berkongsi hasilnya kepada orang ramai.
Katanya, PTPTN tidak mengumumkan sebarang rancangan untuk menghentikan pembiayaan, dan pelajar tidak perlu bimbang dengan perkara itu.
PTPTN meluluskan sejumlah RM74 bilion pinjaman setakat September lalu.
Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abdul Kadir dalam satu jawapan bertulis di Parlimen berkata menjelang akhir tahun lalu, PTPTN meluluskan 3,951,404 pinjaman membabitkan jumlah RM71 bilion.
Bagaimanapun, lebih 2.7 juta pinjaman berjumlah RM32 bilion masih belum dibayar.
Zambry juga berkata 72% daripada pinjaman itu diberikan kepada pelajar Bumiputera dan 28% kepada pelajar bukan Bumiputera.