Kerajaan masih baharu, tak mustahil esok Bersih bagi ‘A’, kata Anwar

Kerajaan masih baharu, tak mustahil esok Bersih bagi ‘A’, kata Anwar

Perdana menteri berkata kerajaan Madani masih baru sangat mentadbir negara dan tidak mustahil penilaian Bersih itu akan naik.

Bersih sebelum ini menilai kerajaan perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dengan gred ‘D’ mengambil kira prestasi sejak dua tahun pembentukannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengambil sikap positif berhubung penilaian gred ‘D’ yang diberikan oleh Bersih terhadap prestasi kerajaan perpaduan pimpinannya.

Sambil menyifatkan pentadbiran di bawah kepimpinannya sangat baharu menerajui Putrajaya, Anwar berkata tidak mustahil dalam tempoh beberapa tahun lagi penilaian itu boleh naik kepada gred ‘A’.

“Soal Bersih bagi (gred D) tak apalah, kali ini dia bagi ‘D’ bukan ‘F’ tapi mudah-mudahan masa UPSR ini mungkin dapat ‘D’, SPM besok naik ‘A’, ia kita kerajaan baru sangat,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta perdana menteri memberi penjelasan susulan pengiktirafan gred ‘D’ oleh Bersih sedangkan kepimpinan Anwar diiktiraf di persada dunia.

Bersih pada Selasa lalu menilai kerajaan perpaduan dengan gred ‘D’ mengambil kira prestasi sejak dua tahun pembentukannya, selain meletakkan Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri terbaik, sejak 2009.

Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz berkata gred diterima kerajaan perpaduan mencerminkan kemajuan terhad melaksanakan reformasi, serta jurang antara retorik dan tindakan.

Menurut Bersih, ketiadaan reformasi yang ketara di bawah pentadbiran Anwar sesuatu yang membingungkan, memandangkan kerajaan perpaduan menikmati sokongan yang kuat di Parlimen berbanding ketika pentadbiran Ismail dan Dr Mahathir Mohamad, yang melakukan lebih banyak reformasi dalam tempoh dua tahun pertama.

Sementara itu, mengulas mengenai soal peruntukan adil kepada pembangkang, Anwar sekali lagi mengulangi pendirian bahawa bahawa kerajaan sedia melaksanakannya dengan syarat ia perlu melalui proses rundingan.

“Tentang soal peruntukan saya tak faham, hal ini termasuk dalam laporan Bersih juga. Saya masa jadi ketua pembangkang saya berunding dengan perdana menteri dan setelah runding baru diputuskan dan kita terima draf awal peruntukan.

“Larut (Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin) sedia maklum harus berunding tapi pembangkang enggan berunding menyebabkan hal ini tertangguh,” katanya bagi menjawab pertanyaan Awang mengenai peruntukan kepada pembangkang.

Anwar turut mencadangkan Awang menjadi perunding dan memberi jaminan peruntukan akan disalurkan sekiranya persetujuan dapat dicapai dengan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.