Bukan alternatif rokok, pakar setuju vape diharam

Bukan alternatif rokok, pakar setuju vape diharam

Pakar kesihatan Dr Zainal Ariffin Omar berkata bahaya vape sama seperti rokok.

vaping vape
Isnin lalu Sultan Pahang mencadangkan vape diharamkan dengan kerajaan tidak perlu lagi menimbangkan kewajarannya.
PETALING JAYA:
Vape tidak perlu dijadikan alternatif kepada rokok dan wajar diharamkan sepenuhnya, kata pakar.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Aktivis Kesihatan Awam, Dr Zainal Ariffin Omar, berkata bahaya vape sama seperti rokok yang memberi kesan kepada kesihatan terutama golongan remaja.

Dr Zainal Ariffin Omar.

“Dengan harga rokok yang tinggi, perokok akan berhenti merokok tanpa perlu beralih kepada vape.

“Bahaya vape dan kesan jangka panjang tetap sama,” katanya kepada FMT, setuju cadangan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya vape diharamkan.

Isnin lalu, Al-Sultan Abdullah mencadangkan rokok elektronik atau vape diharamkan dengan kerajaan tidak perlu lagi menimbangkan kewajarannya.

Seruan itu dibuat susulan kebimbangan baginda terhadap salah guna dadah yang semakin meningkat di Pahang, terutama dalam kalangan belia berdasarkan statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Bagaimanapun pada Selasa, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan negeri berkuasa melarang penjualan vape melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), dan kerajaan persekutuan kekal mengamalkan pendekatan kawal selia.

Beliau berkata, pihaknya menyerahkan kepada kerajaan negeri menentukan dasar masing-masing.

Dr Jamalludin Ab Rahman.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Dr Jamalludin Ab Rahman, berkata penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) mampu mengurangkan promosi dan pendedahan vape kepada kanak-kanak.

Beliau berkata, walaupun Akta 852 tidak setegas seperti diinginkan ramai pakar perubatan kesihatan awam, ia perlu diberi peluang untuk melihat keberkesanannya.

“Di samping itu diharapkan langkah promosi dan pendidikan kesihatan diperluaskan untuk mencegah tingkah laku berisiko ini.

“Sokongan ramai pihak sebagaimana ditunjukkan Al-Sultan Abdullah amat dihargai. Semoga rakyat Pahang khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya mengambil berat kebimbangan tersebut,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.