3 pengawal keselamatan ditahan buat laporan palsu disamun RM200,000

3 pengawal keselamatan ditahan buat laporan palsu disamun RM200,000

Polis berkata tiga suspek itu dipercayai mencari peluang melarikan wang tunai RM200,000 selepas mengambilnya dari sebuah bank.

handcuff
Pemangku Ketua Polis Kota Setar Syed Basri Syed Ali berkata tiga suspek itu direman tiga hari mulai semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.
PETALING JAYA:
Tiga pengawal keselamatan ditahan kerana membuat laporan palsu disamun menyebabkan wang tunai RM200,000 lesap dilarikan penjenayah.

Tiga suspek berusia 28, 37 dan 38 tahun itu yang ditemani majikan membuat laporan polis pada 12 tengah hari Selasa lalu mendakwa mereka disamun.

Pemangku Ketua Polis Kota Setar, Syed Basri Syed Ali, berkata siasatan mendapati keterangan mereka mencurigakan dan rekaan semata-mata, justeru tiga lelaki itu direman tiga hari mulai semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

“Hanya dalam tempoh dua jam, polis berjaya mendapatkan semula wang tunai RM200,000 yang dilaporkan hilang, kononnya disamun selepas maklumat kehilangan wang itu diterima.

“Berikutan itu, syarikat kawalan keselamatan terbabit membuat laporan polis berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut,” katanya menurut Harian Metro di IPD Kota Setar.

Menurutnya, tiga suspek itu dipercayai mencari peluang melarikan wang tunai berkenaan selepas mengambilnya dari sebuah bank.

Beliau berkata, mereka sepatutnya menghantar wang itu ke institusi kewangan lain, tetapi memberi alasan wang berkenaan diletakkan dalam guni disamun suspek lain.

Katanya, tiga suspek itu tiada rekod jenayah, tetapi dua daripadanya positif methamphetamine.

“Polis merampas beberapa barangan seperti motosikal, pakaian seragam pengawal keselamatan, guni menyimpan wang tunai, wang tunai RM200,000, kunci motosikal serta telefon bimbit.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.