2,579 mangsa banjir di 6 PPS Terengganu

2,579 mangsa banjir di 6 PPS Terengganu

Lima PPS masih beroperasi di Kemaman dan sebuah di Marang.

pps banjir
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu memaklumkan daerah Kemaman paling terjejas dengan 2,566 mangsa daripada 641 keluarga masih berlindung di lima PPS. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Situasi banjir di Terengganu tidak banyak berubah dengan jumlah mangsa terjejas seramai 2,579 orang setakat 8 pagi ini berbanding 2,581 orang malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu (JPBNT) memaklumkan daerah Kemaman yang paling terjejas merekodkan 2,566 mangsa daripada 641 keluarga masih berlindung di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di Balairaya Meraga Beris, Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Darul Iman Training Centre (DITC), Balair Raya Beris Nenas dan Balai Raya Padang Kemunting.

Di Marang pula, hanya 13 mangsa daripada empat keluarga masih berlindung di Dewan Sivik Wakaf Tapai.

Menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my, paras air sungai di Sungai Tumpat, Kampung Baru Kemasik, Kemaman melebihi paras amaran.

Paras air di beberapa sungai lain turut mencapai paras waspada, termasuk Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang serta Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Nenas di Kampung Bukit, Setiu.

Oleh itu, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.