Tingkat usaha pastikan remaja berstatus ibu terus bersekolah, kerajaan digesa

Tingkat usaha pastikan remaja berstatus ibu terus bersekolah, kerajaan digesa

Remaja yang berkahwin secara sah juga lazimnya berhenti sekolah sebaik hamil, kata Presiden Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia Raj Karim.

sekolah
Kumpulan hak asasi kanak-kanak Pelajar Bukan Pengantin berkata Malaysia patut menawarkan jadual persekolahan fleksibel, pembelajaran dalam talian dan program separuh masa untuk memudahkan remaja berstatus ibu.
PETALING JAYA:
Dua kumpulan hak asasi kanak-kanak menggesa kerajaan meningkatkan usaha menyediakan pendidikan dan sokongan lain untuk remaja berstatus ibu.

Presiden Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia, Raj Karim, berkata remaja dalam keadaan itu lazimnya kurang mendapat sokongan kewangan dan emosi daripada keluarga menyebabkan terpaksa berhenti sekolah untuk menjaga anak mereka.

Beliau berkata, mendidik remaja terbabit dan ibu bapa mereka akan membolehkan semua pihak membuat keputusan lebih termaklum.

“Pendidikan adalah kunci untuk kanak-kanak, ibu bapa dan masyarakat,” katanya kepada FMT.

“Akses kepada perkhidmatan kesihatan reproduktif dan seksual perlu disediakan supaya kanak-kanak berkenaan tahu di mana boleh mendapatkan bantuan jika diperlukan.”

Raj Karim
Raj Karim.

Raj berkata, walaupun khidmat kaunseling disediakan, tiada inisiatif pembangunan remaja komprehensif buat masa ini yang dapat memberikan “perkhidmatan pelbagai faktor atau agensi” diperlukan remaja berstatus ibu.

Pada 10 Nov lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mendedahkan 44,263 kes direkodkan melibatkan kehamilan bawah umur sejak lima tahun lalu, dengan 26,617 membabitkan remaja yang berkahwin secara sah.

Pelajar Bukan Pengantin (PBP), gabungan NGO dan aktivis berkempen menamatkan perkahwinan kanak-kanak di Malaysia, menggesa program pendidikan menggabungkan perkhidmatan reproduktif dan kesihatan seksual diwujudkan.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat patut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk memastikan program sekolah cukup sesuai bagi menawarkan perkhidmatan sedemikian.

Menurut PBP, Malaysia juga perlu membantu melindungi hak seksual dan reproduktif golongan bawah umur dengan menawarkan jadual persekolahan fleksibel, pembelajaran dalam talian atau program pembelajaran separuh masa sesuai dengan keperluan remaja berstatus ibu.

“Ramai ibu remaja berdepan cabaran mengimbangi penjagaan anak dengan kerja sekolah, jadi dasar kehadiran lebih fleksibel serta platform pembelajaran maya dapat membantu mereka meneruskan pendidikan.

“Mewujudkan program penjagaan kanak-kanak dengan kos berpatutan atau percuma di sekolah atau lokasi berhampiran juga akan membolehkan remaja berstatus ibu meneruskan pendidikan tanpa terbeban mencari tempat penjagaan anak yang selamat dan boleh dipercayai.

“Ini mesti seiring bantuan kewangan untuk remaja terlibat, seperti subsidi dan biasiswa,” katanya FMT.

Gabungan itu berkata, pentadbiran sekolah, guru, kakitangan dan pelajar patut menjalani latihan kesedaran serta sensitiviti untuk membantu mereka memahami cabaran dihadapi remaja berstatus ibu, selain menggalakkan mereka menunjukkan lebih belas kasihan.

Menurutnya, ini dapat menggalakkan persekitaran sekolah yang memberi sokongan dan tidak menghukum ibu muda, yang boleh dicapai menerusi kumpulan sokongan rakan sebaya, program mentor serta aktiviti sekolah inklusif.

“Dasar yang dilaksanakan dan dikuatkuasakan di sekolah juga patut menyasarkan untuk melindungi hak remaja berkenaan bagi meneruskan pendidikan tanpa diskriminasi dan stigma.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.