SPRM sahkan bekas CEO Sabah Mineral dipanggil berkait kes rasuah

SPRM sahkan bekas CEO Sabah Mineral dipanggil berkait kes rasuah

Perkara itu disahkan Pengarah SPRM Sabah Karunanithy Subbiah.

Bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management Sdn Bhd Jontih Enggihon dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan, kata Pengarah SPRM Sabah Karunanithy Subbiah. (Gambar PKINK)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan memanggil bekas ketua pegawai eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Sdn Bhd Jontih Enggihon untuk membantu siasatan berkaitan kes rasuah.

Perkara itu disahkan Pengarah SPRM Sabah Karunanithy Subbiah yang memaklumkan bahawa Jontih dipanggil untuk dirakam percakapan, lapor Harian Metro.

Difahamkan, Jontih hadir ke ibu pejabat SPRM itu pada 2.30 petang semalam.

Dia dipanggil susulan siasatan SPRM berhubung kes rasuah perolehan projek mineral membabitkan ahli perniagaan yang dikaitkan dengan Adun di Sabah.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan Jontih disoal siasat selama hampir tujuh jam berhubung laporan SPRM yang dibuat terhadapnya.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sudah memanggil lima Adun Sabah yang disyaki terbabit dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di negeri itu.

Menurut agensi itu, siasatan awal berhubung aduan terbabit membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Adun Sabah.

Adun terbabit dipanggil susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.