Rundingan sedang berlangsung, prosiding saman SRC terhadap Umno tangguh

Rundingan sedang berlangsung, prosiding saman SRC terhadap Umno tangguh

Mahkamah Tinggi diberitahu, rundingan ke arah mencapai penyelesaian secara baik berlangsung antara kedua-dua pihak sejak Isnin.

umno
SRC International sedang berusaha memperoleh semula RM19.5 juta yang diserahkan kepada Umno pada 2015, mendakwa parti itu tidak berhak menerimanya.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan kes saman SRC International Sdn Bhd dan dua pihak lain terhadap Umno untuk memperoleh semula dana RM19.5 juta yang didakwa datangnya daripada syarikat itu, dengan pihak-pihak dikatakan menuju ke arah mencapai penyelesaian secara baik.

Peguam mewakili SRC International Razlan Hadri Zulkifli berkata, tokoh kanan kedua-dua pihak sedang berbincang untuk menyelesaikan kes itu.

“Kami optimis dengan berjaga-jaga berikutan perkembangan baharu ini,” katanya kepada Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman dan Hasnal Rezua Merican, masing-masing tampil bagi pihak ibu pejabat Umno dan Umno Selangor, mengesahkan rundingan itu sedang berlangsung.

Hakim menangguhkan prosiding kepada 27 Nov untuk membenarkan rundingan diteruskan.

Perbicaraan sebelum ini dijadualkan berlangsung selama dua minggu mulai 18 Nov.

Pada Isnin, Shahrul dan Hasnal memberitahu hakim, mereka sedang berusaha keras meneroka kemungkinan penyelesaian dengan pihak SRC International.

Hakim kemudian menetapkan perbicaraan bermula hari ini.

SRC International dan dua anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd, memfailkan saman untuk mendapatkan semula RM16 juta dan RM3.5 juta masing-masing daripada Umno dan cawangan Selangornya.

Mereka mendakwa, entiti-entiti tersebut menerima jumlah tersebut antara April dan Jun 2015 walaupun mengetahui mereka tidak berhak ke atasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.