
Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata semua suspek berusia 32 hingga 40 tahun itu ditahan pada 10.30 malam dalam sebuah kereta di tepi jalan berkenaan, dipercayai sedang menunggu individu lain untuk mengedar dadah.
Menurutnya, siasatan awal mendapati dadah dianggarkan bernilai RM40,000 itu dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran sekitar, termasuk Melaka.
“Selain dadah, polis turut merampas sepucuk pistol Glock bersama 15 peluru 9mm dan sebuah kereta disewa yang dipercayai untuk mengaburi polis.
“Seorang daripada lelaki itu ialah mekanik, manakala dua lagi tiada pekerjaan tetap. Mereka dipercayai aktif dalam kegiatan pengedaran dadah kira-kira dua bulan ini,” katanya dalam sidang media di sini.
Beliau berkata, saringan air kencing mendapati semua lelaki itu positif dadah, manakala seorang daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Katanya, mereka direman seminggu mulai Ahad lepas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.