Malaysia promosi kesihatan, pelancongan dalam ekspo sulung di Namibia

Malaysia promosi kesihatan, pelancongan dalam ekspo sulung di Namibia

Acara bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan untuk rakyat Namibia.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Mohamad Rameez Yahaya berkata sehingga 2023 Malaysia menerima kira-kira 70 pelancong kesihatan dari Namibia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek, Namibia hari ini menganjurkan Ekspo Kesihatan dan Pelancongan Malaysia yang julung kali diadakan, mengetengahkan tarikan negara ini sebagai destinasi utama dalam sektor kesihatan dan pelancongan.

Acara dianjurkan dengan kerjasama Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan untuk rakyat Namibia, menurut kenyataan Suruhanjaya Tinggi itu.

Pemangku Pesuruhjaya Tinggi Mohamad Rameez Yahaya dalam ucapan alu-aluannya menekankan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penjagaan kesihatan, yang mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk sebagai Destinasi Perjalanan Perubatan Terbaik oleh International Medical Travel Journal yang berpangkalan di United Kingdom.

Beliau berkata, berbanding destinasi seperti New York dan United Kingdom, kos sara hidup dan penjagaan kesihatan di Malaysia bukan sahaja lebih berpatutan tetapi juga menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan bertaraf dunia, menjadikan Malaysia pilihan ideal bagi rakyat Namibia yang ingin mendapatkan rawatan perubatan dan mengisi masa lapang.

“Sehingga 2023, Malaysia telah menerima kira-kira 70 pelancong kesihatan dari Namibia, dengan rawatan ‘gastroenterology’ menjadi carian utama,” katanya.

Beliau turut menekankan dasar visa semasa ketibaan selama 90 hari untuk rakyat Namibia, yang disifatkan sebagai kelebihan utama bagi pelawat.

“Lebih ramai rakyat Namibia seharusnya mendapatkan rawatan kesihatan yang baik dan berpatutan di Malaysia, sementara keluarga mereka boleh menikmati percutian di Malaysia – satu simbiosis antara sektor kesihatan dan pelancongan,” katanya.

Beliau juga memaklumkan bahawa Malaysia telah menerima lebih 23,000 pelancong kesihatan dari benua Afrika.

Dalam sesi libat urus, Rameez memberi jaminan bahawa Malaysia menawarkan akses penjagaan kesihatan yang lancar serta bersedia meneroka peluang kerjasama.

Acara itu turut dihadiri tokoh penting sektor kesihatan dan pelancongan Namibia, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Perubatan Namibia, Dr Armid Azadeh dan Pengarah Eksekutif Kementerian Kesihatan dan Perkhidmatan Sosial, Ben Nangombe.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.