
Pejabat Daerah dan Tanah Petaling sebelum ini menghantar surat kepada pihak gereja pada 29 Okt mengarahkan agar tanah itu dikosongkan dalam tempoh 14 hari bagi memberi laluan kepada projek melebarkan sungai.
Menurut surat itu, tempat letak kenderaan itu dibina secara haram di atas tanah itu, suatu kesalahan bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.
JPS mengakui memberikan kebenaran kepada pihak gereja pada 2012 untuk menggunakan tanah itu sebagai tempat letak kenderaan, namun memutuskan untuk menarik balik kebenaran itu.
Dalam surat bertarikh 18 Nov kepada pihak gereja yang dilihat oleh FMT, JPS berkata, notis pengusiran oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling pada 29 Okt masih sah dan berkuatkuasa.
Joy Appukuttan, selaku peguam mewakili gereja berkata, tindakan tegas JPS berhubung perkara itu menimbulkan kegusaran dalam kalangan pegawai dan kariah gereja tentang kesesakan lalu lintas apabila tempat letak kenderaan itu dirobohkan.
“(JPS) pada mulanya mendakwa tiada rekod kebenaran itu (diberikan), kemudian mereka bersetuju (pihak gereja) menerima kebenaran pihak jabatan pada 2012.
“Sekarang mereka mahu usir kami dalam tempoh yang singkat. Kekacauan akan berlaku di sekitar gereja jika tempat letak kenderaan itu dirobohkan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, lalu lintas dalam dan sekitar Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), lokasi gereja itu, sudah pun sesak.
“Pihak berkuasa harus memikirkan keputusan mereka dengan teliti dan membincangkan penyelesaian yang lebih baik dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Joy turut mendakwa pegawai jabatan yang melawat tapak itu semalam tidak mesra.
“Kami tidak faham mengapa pihak berkuasa berkelakuan seperti ini dengan gereja. Mereka tidak memberi kami notis awal tentang cadangan projek pelebaran sungai itu. Kami hanya mengetahuinya dari notis bertarikh 29 Okt,” katanya.
“Kami bersedia bekerjasama dan berusaha mencapai penyelesaian yang memberi manfaat kepada semua pihak. Pihak berkuasa mesti menangani isu ini dengan adil dan (mengadakan) rundingan sewajarnya bagi mengelakkan gangguan tidak perlu.”
Menurut Joy, gereja itu pada asalnya mempunyai ruang letak kenderaan di depan premisnya, tetapi kehilangan sebahagian daripadanya akibat pembinaan LDP pada akhir 1990an.
Pihak gereja kemudian meminta kepada jabatan itu untuk menggunakan sebidang tanah terbiar di belakang gereja sebagai tempat letak kenderaan.
“Gereja membelanjakan sejumlah besar wang untuk meratakan dan menyediakan kawasan itu untuk digunakan (sebagai tempat letak kenderaan),” katanya.
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) John Leong sebelum ini memberitahu FMT, kerja-kerja pelebaran sungai di sekitar Sungai Kayu Ara bertujuan mengukuhkan cerun sekitar dan meningkatkan kapasiti sungai sebanyak 25% sebagai sebahagian projek tebatan banjir bernilai RM16 juta.
Tanpa projek itu, katanya, banyak rumah di hulu akan terus mengalami banjir kilat, dengan yang terakhir pada Mac menyaksikan air naik setinggi 1 kaki.