
Kejayaan Norhasyimah Daud, 50, itu dibantu Kementerian Perpaduan Negara yang menyediakan geran di bawah Inisiatif Rukun Tetangga Progresif (RT Progresif), diperkenalkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi di bawah aktiviti kemasyarakatan.
Geran berkenaan digunakan Norhasyimah dan penduduk untuk peralatan pembuatan coklat antaranya mesin pencair dan pengisar coklat, acuan, papan pemotong tahan karat serta peti penyejuk beku.

“Dulu hasil jualan coklat sekitar RM800-RM1,000 sebulan dan meningkat sehingga RM2,500 selepas sertai RT, syukur bulan ini mencecah RM15,000.
“Paling teruja, perusahaan ini beri peluang pada komuniti di sini untuk jana pendapatan,” katanya kepada FMT.

Mei lalu, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata sebanyak 152 RT di seluruh negara melaksanakan aktiviti ekonomi bagi pemerkasaan komuniti membabitkan projek pertanian (kebuniti), penghasilan produk makanan, minuman, kesihatan, kraftangan dan perkhidmatan katering.

Selain perusahaan coklat, RT Perumahan Awam Seri Perlis 2 yang mempunyai 33 ahli aktif antaranya ibu tunggal dan pesara turut mengusahakan kebun komuniti untuk menjana pendapatan.
Pengerusinya Latiff Abu Hassan berkata setakat ini jualan sayur menerusi program itu mampu mencecah RM2,500 sebulan yang dibahagikan bagi membayar upah, modal pusingan dan menampung perbelanjaan membantu penduduk.
“Kalau dulu rukun tetangga mungkin fokusnya pada kawalan keselamatan, sekarang inisiatif Kementerian Perpaduan Negara bantu penduduk jana pendapatan sampingan,” katanya.
Melihat kejayaan penduduk di perumahan awam itu serta 151 RT progresif lain, Aaron cukup berbangga kerana manfaaatnya bukan hanya dapat dirasai dari segi ekonomi tetapi memupuk perpaduan.

“RT bukan sahaja menjadi tapak integrasi dan simbol perpaduan malah memainkan peranan penting membantu mengatasi cabaran kos sara hidup serta meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya dalam temu bual dengan FMT.
Antara RT progresif lain mencatat hasil memberangsangkan Kampung Satey Pantai di Batu Pahat (RM12,140 sebulan), RT Kampung Sinar Budi Lama di Kuching (RM68,920 dalam 15 bulan) Jalan K, Presint 11, Putrajaya (RM13,250 setahun).
Mahu melihatnya berkembang, Aaron yakin program itu akan mendapat tempat dalam perancangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) berdasarkan hasil positifnya sebelum ini.
“Untuk tahun depan kita sasarkan 300 RT menyertai program pemerkasaan ekonomi komuniti itu,” katanya.