
Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata, tugas pegawainya bertanggungjawab memastikan keselamatan negara tidak dikompromi dan setiap pengembara asing yang ingin masuk ke Malaysia perlu memenuhi syarat-syarat kemasukan.
“Bagi pengembara warga asing yang tidak dapat memenuhi syarat, satu notis NTL akan dikenakan dan mengikut Seksyen 24, Akta Imigresen 1959/63 mereka diserahkan kepada syarikat penerbangan untuk dihantar pulang ke lokasi terakhir dengan segera.
“Sementara menunggu untuk dihantar keluar, pengembara warga asing yang telah di NTL akan ditempatkan di ruang yang dikhaskan di ‘holding lounge’ yang berhawa dingin, mempunyai kerusi menunggu dan berdekatan dengan kemudahan asas seperti tandas,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mereka juga diberi makan tiga kali sehari oleh syarikat penerbangan sementara menunggu untuk dihantar pulang.
Zakaria berkata Jabatan Imigresen komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan juga pengembara asing yang memasuki negara.
Baru-baru ini, sebuah portal berita melaporkan menerima beberapa klip video daripada seorang pelancong asing berstatus NTL yang mengadu mengenai layanan terhadap pengembara yang tidak dibenarkan memasuki negara ini.
Dalam klip video tiga saat yang dipercayai diambil pada 11 Nov lalu, seorang individu dilihat menumbuk muka seseorang atas sebab yang tidak pasti sebelum mangsa diminta pergi ke suatu tempat seperti bilik.
Satu lagi video, keadaan di ‘holding lounge’ yang sesak dan terdapat pelancong asing duduk serta berbaring di lantai.