‘Cermin diri mengapa Sabah mundur’, Puad beritahu Isnaraissah

‘Cermin diri mengapa Sabah mundur’, Puad beritahu Isnaraissah

Puad Zarkashi berkata banyak projek mega di Sabah yang dilaksanakan ketika pentadbiran Najib Razak dibatal atau ditangguh PH dan Warisan selepas PRU 2018.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi berkata Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis memang patut rasa geram disebabkan Sabah terus tercicir daripada pembangunan negara.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno meminta Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis “mencermin diri” kerana mempersoalkan pembangunan di Sabah masih tercorot berbanding negeri lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi, Puad Zarkashi, berkata banyak projek mega di Sabah yang dilaksanakan Najib Razak ketika pentadbirannya dibatalkan atau ditangguh oleh Pakatan Harapan (PH) dan Warisan selepas PRU 2018.

“Di zaman Najib, fokus diberi kepada Sabah dan Sarawak. Malangnya, apa yang Najib buat banyak dibatal atau ditangguh oleh PH 1.0 dan Warisan.

“Contohnya Lebuhraya Pan Borneo, loji penjanaan kuasa Sandakan 300MW, projek Trans-Sabah Gas Pipeline dan Empangan Hidro Kaiduan,” katanya di Facebook.

Lebuhraya Pan Borneo adalah janji manifesto Barisan Nasional (BN) pada PRU13 yang menghubungkan Sabah dan Sarawak melalui Brunei serta rangkaian jalan raya Lebuhraya Trans-Kalimantan, Indonesia.

Puad berkata, kadar pertumbuhan Sabah pada 2017 juga tinggi, iaitu 8.2% berbanding 5.9% bagi Malaysia.

“Kekecewaan MP Kota Belud kerana pembangunan Sabah tercorot amat wajar. Dia memang patut rasa geram. Tetapi, kena cermin diri sendiri,” katanya.

Kelmarin, Isnaraissah dari Warisan meluahkan kekecewaanya apabila Sabah terus tercicir daripada pembangunan negara.

Beliau berkata, data kerajaan menunjukkan semua daerah di Sabah berada di kedudukan tercorot berbanding kawasan lain.

Katanya, kelewatan pembangunan di Sabah bukan saja melibatkan agensi kerajaan negeri, tetapi juga projek dikendalikan kerajaan pusat.

“Sebagai orang Sabah saya geram. Paling rendah sehinggakan program dan projek di negeri pun masih di bawah, hanya dibelanjakan 46% daripada RM6.7 bilion,” katanya di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.