Beberapa NGO Melayu mahu sertai Bersatu

Beberapa NGO Melayu mahu sertai Bersatu

Sumber parti berkata pertubuhan Melayu itu termasuk Berjasa, Putra dan Perkasa.

bersatu logo
Sumber parti berkata ketika ini berlangsung rundingan mengenai peranan akan diberikan kepada ketua NGO terbabit dalam Bersatu.
PETALING JAYA:
Beberapa NGO Melayu berhasrat menyertai Bersatu dalam usaha mengukuhkan parti Melayu itu menjelang PRU16, dedah seorang pemimpin parti yang turut memaklumkan ia mendapat maklum balas baik daripada kepimpinan tertinggi.

Bercakap kepada FMT, pemimpin itu berkata beberapa siri perjumpaan telah berlangsung dan perbincangan ketika ini menyentuh mengenai kedudukan atau peranan akan diberikan kepada ketua NGO terbabit dalam Bersatu.

Difahamkan, pertubuhan Melayu itu termasuk Berjasa, Putra dan Perkasa.

“Terdapat hasrat daripada beberapa NGO Melayu untuk menyertai kita, dan maklum balas parti sangat baik setakat ini.

“Di pihak Bersatu, kita sedang mempertimbangkan untuk memberi peranan besar seperti ahli jawatankuasa penerangan atau ahli MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi) sesuai dengan kedudukan mereka sebagai ketua NGO,” katanya.

Pemimpin itu berkata, hasrat NGO berkenaan yang mahu menyertai Bersatu menunjukkan parti pimpinan Muhyiddin Yassin dipercayai dan diterima pelbagai pihak, berbanding parti Melayu lain.

Ditanya adakah penyertaan turut membabitkan Pejuang – parti diketuai Mukhriz Mahathir, beliau berkata perkembangan baharu itu tidak berkait dengan sebarang parti.

“Tidak, tiada kaitan. Pejuang dulu mahu sertai Perikatan Nasional (PN), tetapi NGO ini mahu sertai kita (Bersatu)…kita percaya ia mampu mengukuhkan lagi pengaruh dan keahlian Bersatu di seluruh negara,” katanya.

Pejuang memohon menyertai PN Mac tahun lalu namun ditolak menerusi kenyataan media Setiausaha Agung Hamzah Zainudin pada bulan sama.

Pejuang kalah semua kerusi ditandingi pada PRU15, termasuk Dr Mahathir Mohamad (pengerusi Pejuang ketika itu) dan Presiden Mukhriz.

Pejuang atau nama penuhnya Parti Pejuang Tanah Air ditubuhkan Mahathir pada Ogos 2020 selepas Bersatu menggugurkan keahliannya dan beberapa penyokong.

Selepas permohonan ditolak, setiausaha agung Pejuang ketika itu, Amiruddin Hamzah berkata partinya kecewa iltizam dan matlamat untuk tidak memecahkan undi orang Melayu tidak disambut pimpinan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.