Pelan LTAT struktur semula BHB ‘praktikal’, kata PAC

Pelan LTAT struktur semula BHB ‘praktikal’, kata PAC

Inisiatif yang kini terhenti itu dapat mengurangkan kebergantungan LTAT pada BHB, selain mempelbagaikan pelaburan LTAT, kata jawatankuasa itu.

menara boustead
PAC melaporkan, keputusan penangguhan dan arahan merangka semula pelan penstrukturan semula BHB dibuat hanya dengan pandangan daripada pengurusan BHB, bukan LTAT. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyifatkan inisiatif menstruktur semula Boustead Holdings Bhd (BHB) yang membawa kepada peletakan jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), sebagai praktikal.

Dalam kenyataan, PAC berkata, inisiatif yang kini dihentikan itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan LTAT kepada BHB, anak syarikat milik penuhnya, malah juga akan mempelbagaikan pelaburan LTAT dalam aset berkualiti.

Menurut PAC, cadangan inisiatif itu turut ‘melalui pelbagai proses tapisan dan kelulusan pada setiap peringkat LTAT dan Kementerian Pertahanan’ ketika itu, serta melibatkan kajian yang menyeluruh oleh pihak LTAT.

“PAC berpandangan bahawa keputusan Kementerian Pertahanan pada masa ini untuk menghentikan pelan penstrukturan semula yang sudah mula dilaksanakan bawah pengurusan LTAT terdahulu membantutkan perjalanan transformasi LTAT yang perlu dilaksanakan dengan segera, secara menyeluruh dan tuntas,” katanya dalam kenyataan.

PAC juga menyatakan bahawa berdasarkan keterangan menteri pertahanan ketika prosiding, keputusan penangguhan dan arahan merangka semula pelan penstrukturan semula BHB dibuat hanya dengan pandangan daripada pengurusan BHB, bukan LTAT.

“LTAT sebagai pemilik 100% BHB perlu diberi ruang sepenuhnya untuk merangka dan melaksana pelan yang memenuhi keperluan dan objektif LTAT, bukan sebaliknya,” katanya.

Pada Februari, FMT melaporkan bahawa Ahmad Nazim Abdul Rahman telah meletak jawatan sebagai CEO LTAT selepas inisiatif ‘menetapkan semula’ BHB dan syarikat terasnya ditangguhkan.

Sumber memberitahu FMT bahawa Nazim, yang dilantik pada Jun 2021, telah merangka inisiatif utama bertujuan menangani hutang BHB sebanyak RM3.5 bilion dan struktur perangkap dividennya.

Inisiatif ini bertujuan melindungi LTAT daripada kemerosotan, mencipta nilai untuk dana, dan mengumpul dana yang mencukupi untuk memenuhi kewajipan hutangnya untuk tahun ini, menurut sumber itu.

Ia juga melibatkan pengurangan lapisan pengurusan Boustead Group dan baik pulih model tadbir urus dan operasinya.

Pada Julai 2023, LTAT melancarkan Mampan25, pelan hala tuju dua tahun untuk mempertingkat prestasinya.

Dirasmikan oleh menteri pertahanan ketika itu, Mohamad Hasan, pelan hala tuju itu memfokuskan pada peluasan aset dana itu bawah pengurusan kepada RM15 bilion, menyampaikan pulangan konsisten 5% kepada ahli, dan memperoleh semula pelaburan RM3.3 bilion dalam perniagaan berkaitan Boustead yang sedang bergelut.

Antara inisiatif utama bawah Mampan25 ialah cadangan penjualan 33% pegangan Boustead Plantation Bhd kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd. Bagaimanapun, perjanjian itu gagal susulan perbahasan hangat di Parlimen berhubung kebimbangan potensi kehilangan syarikat dikawal Bumiputera.

Pada 18 Dis 2023, The Edge melaporkan bahawa pelan penstrukturan semula LTAT ditangguhkan sementara menunggu semakan oleh Khaled Nordin, yang mengambil alih portfolio pertahanan berikutan rombakan Jemaah Menteri enam hari sebelumnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.