Orang Asli mahu jual sawit tanpa geran tanah perlu rujuk kerajaan negeri

Orang Asli mahu jual sawit tanpa geran tanah perlu rujuk kerajaan negeri

Kumpulan terjejas perlu meminta pengesahan daripada kerajaan negeri agar tanah itu dapat dipertimbangkan sebagai hak milik mereka, kata menteri.

kelapa-sawit-palm-oil-plantation
Syarat mewajibkan geran tanah dan lesen bagi penjualan buah kelapa sawit diwujudkan bagi memenuhi standard EUDR, menurut Johari Abdul Ghani.
KUALA KANGSAR:
Masyarakat Orang Asli yang mahu menjual buah kelapa sawit tetapi tidak memiliki geran tanah dan lesen perlu merujuk kepada kerajaan negeri masing-masing, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, syarat pemilikan geran tanah dan lesen kepada penjual buah kelapa sawit terpakai kepada semua pemain industri kelapa sawit dalam negara.

“Kalau ada kes macam itu (Orang Asli), kita pergi sahaja ke kerajaan negeri, minta pengesahan daripada kerajaan negeri dan kita pertimbangkan (tanah itu) sebagai hak milik (title) mereka,” katanya selepas selepas merasmikan ‘Kilang Minyak Sawit Pintar Pertama Di Dunia Berasaskan AI’ hasil kerjasama Minsawi Industries (Kuala Kangsar) Sdn Bhd dan Airei Sdn Bhd di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, penebangan hutan tanpa kebenaran bagi penanaman kelapa sawit tidak melayakkan Orang Asli untuk memperoleh pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MPSO), justeru menyebabkan kumpulan itu tidak dapat menjual hasil mereka.

Semalam, media melaporkan Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob yang juga bekas perdana menteri pada sesi perbahasan Dewan Rakyat meminta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melonggarkan syarat penjualan buah kelapa sawit tanpa perlu mewajibkan geran tanah dan lesen kerana ia membebankan pekebun kecil, khususnya masyarakat Orang Asli.

Sementara itu, Johari berkata, syarat mewajibkan geran tanah dan lesen bagi penjualan buah kelapa sawit diwujudkan bagi memenuhi standard Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Menurutnya, Malaysia menghasilkan 18.6 juta tan kelapa sawit setahun dan mengeksport 14 hingga 13 juta tan daripada jumlah itu ke negara seperti China, India dan negara Eropah.

Bagi memenuhi syarat pensijilan Eropah, katanya, mana-mana tanah yang ditanam kelapa sawit wajib mempunyai hak milik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.