Malaysia berdepan 87,000 kematian akibat kerintangan antimikrob

Malaysia berdepan 87,000 kematian akibat kerintangan antimikrob

Angka itu bersamaan 0.26% daripada populasi negara dianggarkan berjumlah 33 juta.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada pelancaran sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Malaysia bakal menyaksikan unjuran kematian sebanyak 87,000 sekitar 2020 hingga 2030 jika tiada sebarang intervensi dibuat bagi memerangi kerintangan antimikrob (AMR), kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, angka itu bersamaan 0.26% daripada populasi negara dianggarkan berjumlah 33 juta, berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kajian dijalankan oleh Pejabat Serantau Pasifik Barat (WPRO).

“Malaysia bersama beberapa negara seperti Vietnam dan Filipina turut mempunyai data unjuran masing-masing. Sebagai contoh, Vietnam dengan populasi 98.86 juta diunjurkan mencatatkan 296,581 kematian akibat AMR dalam tempoh sama.

“Angka-angka ini adalah hasil simulasi unjuran, bukan angka sebenar, namun ia memberi gambaran jelas bahawa tanpa langkah intervensi lebih serius dan menyeluruh, ancaman ini boleh menjadi realiti,” katanya pada sidang media.

Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta WHO dan pelbagai rakan strategik lain hari ini melancarkan sambutan Minggu Kesedaran Antimikrob Sedunia (WAAW) 2024.

Dzulkefly berkata selain kehilangan nyawa, kerintangan antimikrob juga membawa kesan besar terhadap ekonomi.

“Rantau Pasifik Barat dijangka menanggung kerugian ekonomi sebanyak USD148 bilion akibat beban penyakit dan kos ekonomi yang berkait dengan rintangan antimikrob,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan keperluan untuk meningkatkan kesedaran dan melaksanakan inisiatif yang lebih tuntas bagi memerangi AMR demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara.

Dzulkefly berkata, Malaysia telah mengambil langkah proaktif melalui Pelan Tindakan Kerintangan Antimikrob Kebangsaan 2022-2026.

Pelan itu menumpukan kepada meningkatkan kesedaran dan pendidikan, memperkukuh aktiviti pengawasan dan penyelidikan, meningkatkan pencegahan dan kawalan infeksi, serta mempromosikan penggunaan antimikrob secara bertanggungjawab melalui kerjasama pelbagai sektor di bawah pendekatan ‘One Health’.

Bertemakan ‘Educate. Advocate. Act Now.’, sambutan WAAW tahun ini menekankan kepentingan pendidikan, advokasi, dan tindakan segera dalam memerangi AMR.

Sambutan itu bertujuan meningkatkan kesedaran profesional kesihatan dan masyarakat awam berkaitan ancaman serius AMR.

WHO telah mengisytiharkan AMR sebagai satu daripada 10 ancaman utama kepada kesihatan global.

Ia memberi impak serius terhadap kesihatan manusia, haiwan, dan alam sekitar, sekali gus menjejaskan pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Jika tidak ditangani, AMR boleh menyebabkan 5.2 juta kematian tambahan dan bebanan kos kira-kira USD148 bilion di rantau Pasifik Barat menjelang 2030.

Antara 2025 dan 2050, bakteria berkerintangan dianggarkan boleh menyebabkan 39 juta kematian, iaitu kira-kira tiga kematian setiap minit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.